Daulat Tuanku! Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar selamat ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-17. Kenali Baginda dengan lebih dekat menerusi biodata Baginda ini.
#1 Baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa dari 31 Jan 2024. Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat menerusi Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Yang Ke-263 (Khas) bersetuju mengisytiharkan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu pada 27 Oktober lalu.
#2 Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Sultan Pahang) yang meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas menjadi Yang di-Pertuan Agong sejak 31 Januari 2019.
#3 Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor, Malaya ketika pemerintahan paduka nenda moyang baginda, Sultan Ibrahim.
#4 Merupakan paduka anakanda ketiga dan putera sulung daripada 10 adik-beradik kepada Sultan Iskandar bersama bondanya iaitu Josephine Ruby Trevorrow, seorang wanita Inggeris dari Torquay, England.
#5 Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman dan setelah itu, Baginda kemudiannya menyambung pelajarannya di Trinity Grammar School di Australia pada 1968 selama dua tahun.
#6 Tunku Ibrahim Ismail telah dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 dan telah bersemayam di Istana Pasir Pelangi. Baginda pernah menjadi pemangku raja Johor pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989 ketika ayahandanya, Sultan Iskandar telah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-8.
#7 Sultan Ibrahim telah berkahwin dengan Raja Zarith Sofiah, Puteri Sultan Perak, Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah pada 1982. Baginda berdua dikurniakan 6 orang anakanda iaitu:
- Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar (diputerakan 30 Jun 1984). Baginda telah dilantik sebagai Raja Muda Johor oleh nendanya, Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota oleh ayahandanya, Sultan Ibrahim.
- Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah (diputerakan 8 April 1986)
- Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman (diputerakan 25 Disember 1987)
- Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail (5 Julai 1990 – 5 Disember 2015)
- Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri (diputerakan 5 Februari 1993
- Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim (diputerakan 30 Mei 2001)