Siapa ‘The Next?’ Ini sorotan eksklusif mengenai tujuh anak selebriti terkenal yang kini menjadi buah mulut ramai.
Perasan tak? Dunia hiburan kini dipenuhi dengan wajah baharu, antaranya generasi Z yang merupakan anak selebriti.
Lahir dalam era digital dan kini mula menonjol bukan sekadar kerana nama besar keluarga selebriti mereka, tetapi juga kerana bakat, personaliti dan identiti tersendiri yang mereka bina.
Jom kenali 7 Gen Z yang merupakan anak selebriti terkenal:
1. Putra Ahmad Merrah & Awie
Putra Ahmad Merrah merupakan salah seorang daripada tujuh anak Dato’ Seri Awie — iaitu penyanyi dan pelakon legenda Malaysia.
Baru-baru ini, video dirinya menyanyikan lagu klasik “Sejati” tular kerana suaranya yang hampir menyerupai ayahnya, membuat ramai terkejut dengan bakatnya.
2. Camelia Natasya & Suriati Baharom
Anak kepada pelakon 90-an Suriati Baharom, Camelia Natasya mula mencuri perhatian apabila berani mencuba nasib dalam pertandingan Dewi Remaja.
Pelakon filem Miimaland dan series drama Tanya Sama Pokok ini punyai wajah yang manis, lakonan semula jadi dan personaliti yang mudah didekati di media sosial, sekali gus meletakkan Camelia kini dilihat sebagai salah satu bintang muda yang bakal menyerlah dalam industri hiburan tanah air.
3. Azeva Natassha & A Aida
Azeva Natassha, anak kepada penerbit dan pelakon terkenal A. Aida, semakin menjadi perhatian kerana bukan sahaja memiliki rupa paras menawan, malah dikatakan bakal mewarisi empayar perniagaan ibunya, A. Aida Production.
Ramai peminat memuji kecantikan semula jadinya dan tidak menolak kemungkinan Azeva bakal mengikut jejak langkah ibunya dalam industri seni suatu hari nanti.
4. Alya Iman & Azmil Mustapha
Alya Iman bukan nama asing lagi dalam industri lakonan. Mewarisi bakat daripada bapanya, pelakon tersohor Allahyarham Azmil Mustapha, Alya kini aktif sebagai pelakon muda yang kian mendapat tempat dalam hati peminat drama tempatan.
Lakonannya yang bersahaja dan wajah manis membuatkan ramai menantikan lebih banyak karya daripadanya.
5. Erysha Emyra & Noniswara
Cantik dan berbakat! Itu yang boleh digambarkan tentang Erysha Emyra. Sebagai anak kepada pelakon popular Noniswara, Erysha memilih untuk mengikut jejak ibunya dalam dunia lakonan.
Walaupun masih baru, penampilannya dalam beberapa drama telah menunjukkan potensi besar yang bakal menyerlahkan namanya di masa hadapan.
6. Fazryn Faizal & Faizal Hussein
Tular di TikTok, anak gadis kepada pelakon legenda Faizal Hussein, Fazryn Faizal, mencuri perhatian ramai apabila menerima ribuan tanda suka kerana rupa parasnya yang manis dan menawan.
Ramai netizen memuji wajah jelita Fazryn yang dikatakan mewarisi karisma dan pesona bapa tersohor itu.
7. Kasih Iris Leona & Azhar Sulaiman
Siapa yang tak kenal dengan Kasih Iris Leona, anak kepada pelakon dan arkitek terkenal Azhar Sulaiman. Aktif di media sosial dengan ribuan pengikut, Leona terkenal dengan personalitinya yang ceria dan berani.
Walaupun belum sepenuhnya terjun ke dunia lakonan seperti ayahnya, pengaruhnya dalam kalangan Gen Z memang tak dapat dinafikan.