Lebih dua dekad mewarnai industri hiburan Korea Selatan, So Ji Sub terus membuktikan dirinya sebagai pelakon hebat yang masih kekal relevan meskipun industri K-drama kini sentiasa dibanjiri wajah-wajah baharu.
Nama So Ji Sub sememangnya tidak asing lagi dalam dunia K-drama. Memulakan kerjaya sebagai model sebelum bergelar pelakon, aktor berusia 48 tahun ini dikenali menerusi auranya yang maskulin serta kemampuan membawakan pelbagai karakter, daripada hero romantik sehinggalah watak antihero yang penuh emosi.
Selepas kejayaan drama aksi noir Mercy for None, nama So Ji Sub kembali menjadi bualan peminat K-drama. Ramai penonton baharu mula meneroka semula deretan drama lakonannya, manakala peminat lama pula mengambil peluang untuk mengimbau karya-karya ikonik yang pernah meletakkan namanya sebagai antara pelakon paling disegani di Korea Selatan. Berikut tujuh drama lakonan So Ji Sub yang sememangnya wajib ditonton.
1. What Happened in Bali (2004)
Sebelum dikenali menerusi pelbagai naskhah ikonik, So Ji Sub terlebih dahulu mencuri perhatian ramai menerusi What Happened in Bali atau Something Happened in Bali. Dalam melodrama ini, beliau membawakan watak Kang In Wook, seorang lelaki yang bercita-cita tinggi tetapi dibelenggu kisah silam dan konflik cinta yang rumit. Gandingan bersama Ha Ji Won, Jo In Sung dan Park Ye Jin berjaya menjadikan drama ini antara naskhah paling ikonik pada era awal 2000-an.

2. The Master’s Sun (2013)
Kalau anda sukakan gabungan romantik, komedi dan elemen supernatural, The Master’s Sun tidak boleh dilepaskan. So Ji Sub membawa watak Joo Joong Won, seorang CEO dingin yang secara tidak sengaja menjadi penyelamat kepada wanita yang mampu melihat hantu. Gabungan lakonan So Ji Sub dan Gong Hyo Jin berjaya menghasilkan antara drama romantik fantasi paling ikonik dalam sejarah K-drama.

3. Oh My Venus (2015)
Mungkin inilah drama yang paling berjaya membuat ramai penonton jatuh hati dengan So Ji Sub. Digandingkan bersama Shin Min Ah, beliau melakonkan watak Kim Young Ho, seorang jurulatih kecergasan terkenal yang membantu seorang peguam mengubah gaya hidupnya. Selain kisah cinta yang manis, chemistry luar biasa antara kedua-dua pelakon utama menjadi kekuatan utama drama romantik komedi ini. Tidak hairanlah ia masih menjadi pilihan ramai sehingga hari ini.

4. My Secret Terrius (2018)
Dalam drama ini, So Ji Sub memegang watak Kim Bon, bekas ejen risikan elit yang terpaksa menjaga dua kanak-kanak sambil menyiasat konspirasi besar di sebalik kematian jiran mereka. Gabungan aksi, komedi dan elemen kekeluargaan menjadikan drama ini cukup menghiburkan, malah berjaya membawa pulang beberapa anugerah termasuk Daesang buat So Ji Sub.

5. Doctor Lawyer (2022)
Berbeza daripada watak romantik yang sinonim dengannya, So Ji Sub tampil lebih serius sebagai Han Yi Han, seorang pakar bedah yang kehilangan lesen perubatannya sebelum kembali sebagai peguam perubatan untuk menuntut keadilan. Drama ini menggabungkan elemen perubatan, undang-undang dan misteri, sekali gus memperlihatkan sisi lakonan So Ji Sub yang lebih matang dan penuh emosi.

6. Mercy for None (2025)
Selepas berehat agak lama daripada dunia drama, So Ji Sub membuat kemunculan semula menerusi Mercy for None, sebuah drama aksi noir terbitan Netflix. Beliau membawakan watak Nam Gi Jun, bekas ahli kongsi gelap yang kembali ke dunia jenayah demi membalas dendam atas kematian adiknya. Jika anda sukakan siri seperti The Worst of Evil atau Bloodhounds, drama ini wajib ditonton.

7. Agent Kim Reactivated (2026)
So Ji Sub kembali menggalas watak Kim Bon menerusi Agent Kim Reactivated, sekuel kepada drama popular My Secret Terrius. Kali ini, bekas ejen Perkhidmatan Perisikan Negara (NIS) itu dipanggil semula untuk menyelesaikan satu misi baharu yang lebih berbahaya. Masih mengekalkan gabungan aksi, komedi dan elemen kekeluargaan yang menjadi kekuatan drama asal, Agent Kim Reactivated turut menyajikan adegan aksi yang lebih intens dalam perjalanan hidup Kim Bon.

Artikel Berkaitan: 5 Sebab Kenapa The Odyssey Jadi Filem Paling Dinantikan Peminat
