Peminat K-Pop di Malaysia, bersedia menyambut tahun 2024 dengan penuh semangat, bertemu dan meraikan momen indah bersama idola K-pop kesayangan anda di konsert jelajah dunia di Kuala Lumpur.
Tahun 2024 bakal menjadi tahun yang luar biasa buat peminat K-pop di Malaysia, penuh dengan kejutan dan momen indah! Tahun ini, Malaysia akan menjadi saksi kehadiran bintang-bintang K-pop yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat setia di negara ini.
Dengan pengumuman dari beberapa kumpulan K-pop popular yang memilih Malaysia sebagai destinasi dalam tour mereka, para peminat pasti akan berpeluang untuk merasai pengalaman indah bersama idola mereka. Ini adalah saat yang dinanti-nantikan, membawa mimpi dan kegembiraan kepada para penggemar K-pop di Malaysia!
Semak tujuh konsert K-Pop yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur :
1. The Rose
Kumpulan indie dari Korea Selatan yang terdiri dari empat anggota ini bakal mengegarkan Kuala Lumpur pada 31 Januari. Setelah selesai jelajah dunia “Dawn to Dusk” mereka pada tahun lepas, The Rose akan memulakan jelajah Asia mereka dan telah memasukkan Malaysia sebagai persinggahan. Konsert yang akan diadakan di Mega Star Arena ini akan dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 malam.
The Rose, yang dikenali dengan lagu-lagu berbahasa Inggeris dan Korea yang penuh emosi, menampilkan vokal yang mendalam dan menyentuh hati, serta lirik yang menggugah perasaan. Mereka dijangka akan memukau para penonton dengan deretan lagu hit seperti “Back to Me”, “Childhood”, “She’s in the Rain”, dan “Sorry”.
2. Ive
Peminat setia K-pop, khususnya penggemar IVE, bakal merasakan gegaran “Love Dive” pada 17 Februari ini di Malaysia. IVE yang membawa jelajah dunia mereka ke Malaysia buat kali pertama dengan “Show What I Have”, akan menjadi jelajah dunia pertama kumpulan itu sejak penampilan pertama mereka pada 2021.
Peminat di Malaysia akan berpeluang menyaksikan persembahan langsung lagu-lagu hit sensasi mereka seperti “Love Dive”, “I Am’, ‘Eleven” dan “Baddies”, yang pastinya akan menggegarkan pentas dan memukau hati para penggemar.
3.Ft Island
Para peminat lagu rock Korea Selatan, bakal disajikan persembahan yang menakjubkan dari F.T. Island, kumpulan rock yang popular dari Korea Selatan ini bakal singgah di Malaysia sebagai salah satu destinasi dalam jelajah “Hey Day'”mereka.
Dikenali dengan lagu-lagu yang penuh semangat dan irama rock-pop yang berat seperti “Severely”, “Take Me Now”, dan “Bad Woman”, mereka akan menggegarkan pentas Zepp KL pada 24 Februari dan ini adalah peluang emas untuk para peminat merasai kehebatan persembahan F.T. Island secara langsung, membawa alunan rock yang pasti menggemparkan dan memukau para penonton.
4. CN Blue
Setelah menanti selama sedekad, peminat CNBLUE di Malaysia akhirnya dapat bernafas lega kerana CNBLUE bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 20 April ini. Kumpulan lelaki kesayangan Korea Selatan ini bakal menggegarkan Kuala Lumpur dengan jelajah “CNBLUENTITY”, menandakan kembalinya mereka selepas 10 tahun, sejak kali terakhir mereka memukau peminat di “Blue Moon World Tour” pada tahun 2013.
Konsert ini pasti akan menjadi momen bersejarah dan penuh emosi, membawa kembali kenangan indah bersama lagu-lagu ikonik dan penampilan yang memukau dari CNBLUE. Jadi, jangan lepaskan peluang ini untuk menyaksikan kumpulan pop-rock popular ini secara langsung!
5. Kyuhyun
Peminat Super Junior, khususnya penggemar Kyuhyun, bakal merasai malam yang indah pada April ini. Vokalis terkenal Super Junior, itu akan memulakan debut solonya di Malaysia sebagai sebahagian daripada Jelajah Asianya, “Restart Asia Tour”.
Pengumuman yang ditunggu-tunggu itu dibagikan oleh Kyuhyun sendiri melalui poster di media sosial miliknya, yang menyenaraikan negara-negara yang bakal dikunjunginya. Meskipun info lengkap tentang konsert masih belum banyak terungkap, para peminat di Malaysia sudah dapat mempersiapkan diri dengan menikmati muzik Kyuhyun yang meliputi lagu-lagu hit seperti “At Gwanghwamun”, “Goodbye For Now”, dan ‘”Time With You”.
6. IU
Penyanyi, penulis lagu dan pelakon berbakat, IU, telah mengumumkan jelajah dunia “H.E.R.” untuk tahun 2024 dan berita gembira buat peminat di Malaysia, dua tarikh telah ditetapkan untuk konsert yang akan berlangsung di Axiata Arena pada 8 dan 9 Jun ini. Konsert jejalah yang akan bermula di Seoul serta beberapa lokasi pilihan di Asia yang lain termasuk Kuala Lumpur dan Amerika Syarikat.
Jelajah ini bakal menjadi momen istimewa buat peminat di Kuala Lumpur, menandakan kembalinya IU sejak jelajah konsert “Love, Poem” pada tahun 2019. IU juga akan kembali dengan single keluarannya bertajuk “Love Wins”, bersama-sama dengan video muzik yang akan menampilkan V BTS, pada 24 Januari ini.
7. Super Junior
Super Junior telah mengumumkan jelajah Asia mereka, “Super Show Spin-off: Halftime”, yang bakal berlangsung pada pertengahan tahun 2024. Menurut laporan terbaru yang turut disebarkan oleh akaun rasmi Super Junior di platform X, jelajah “Super Show Spin-off: Halftime” Asia 2024 ini akan bermula dengan konsert pembukaan di Seoul, Korea Selatan pada bulan Jun.
Seterusnya, kumpulan K-pop popular tersebutakan mengunjungi beberapa destinasi di Asia, termasuk Kuala Lumpur pada bulan Ogos 2024. Walaupun tarikh rasmi, lokasi, dan butiran tiket masih belum diumumkan, peminat dijangka akan menerima maklumat lanjut dalam beberapa bulan mendatang.
Artikel Berkaitan: 6 Tragedi Konsert: Maut & Memalukan Konsert Sepanjang Zaman