Setelah sekian lama dinantikan, akhirnya kisah epik The Odyssey bakal kembali dihidupkan dalam versi layar lebar yang lebih gah dan moden.
Diadaptasi daripada puisi epik karya Homer yang berusia ribuan tahun, filem ini mengisahkan pengembaraan The Odyssey dalam perjalanan pulang ke Ithaca selepas Perang Trojan.
Dengan gabungan pelakon bertaraf antarabangsa, teknologi perfileman terkini dan sentuhan unik Nolan, ramai peminat percaya The Odyssey bakal menjadi salah satu karya epik paling hebat dalam sejarah pawagam.
Jadi, apakah yang membuatkan The Odyssey begitu dinantikan?

1. Christopher Nolan mengarah adaptasi epik homer
Nama Christopher Nolan sahaja sudah cukup membuatkan peminat teruja. Selepas kejayaan Oppenheimer, Interstellar, Inception dan The Dark Knight Trilogy, Nolan kini membawa kisah klasik The Odyssey ke layar perak. Ramai menjangkakan beliau akan memberikan nafas baharu kepada cerita mitologi Yunani dengan gaya penceritaan yang kompleks, sinematik dan penuh emosi.

2. Barisan pelakon bertaraf Hollywood
Salah satu tarikan terbesar The Odyssey ialah barisan pelakonnya yang cukup mengagumkan. Filem ini dibintangi Matt Damon sebagai Odysseus bersama Tom Holland, Zendaya, Anne Hathaway, Charlize Theron, Lupita Nyong’o, Robert Pattinson, Jon Bernthal, Benny Safdie, Mia Goth dan ramai lagi. Gabungan pelakon daripada pelbagai generasi ini menjadikan filem tersebut antara produksi dengan barisan pelakon paling mantap pada tahun 2026.
3. Adaptasi mitologi Yunani yang lebih realistik
Walaupun kisah The Odyssey penuh dengan dewa, raksasa dan makhluk mitologi seperti Cyclops serta Siren, ramai percaya Nolan akan menghasilkan pendekatan yang lebih realistik dan dramatik. Gaya pengarahan beliau yang sering menggabungkan elemen psikologi, sains dan emosi dijangka memberikan pengalaman baharu terhadap kisah klasik ini tanpa menghilangkan kehebatan cerita asal.

4. Penggambaran di lokasi indah seluruh dunia
Untuk memberikan pengalaman visual yang lebih autentik, produksi The Odyssey menjalankan penggambaran di beberapa lokasi yang menakjubkan termasuk Greece, Itali, Maghribi, Scotland dan Iceland.

5. Teknologi IMAX Generasi Baharu
Christopher Nolan terkenal sebagai pengarah yang gemar menggunakan kamera IMAX untuk menghasilkan visual berkualiti tinggi. The Odyssey dijangka menggunakan teknologi kamera IMAX generasi baharu bagi memberikan imej lebih tajam, skala lebih besar dan pengalaman menonton yang lebih mendalam.
