Budaya mempromosikan standard kecantikan yang tidak realistik, menjadikannya satu cabaran buat sesetengah selebriti Hollywood yang mempunyai berat badan yang tidak memenuhi jangkaan peminat.
Sering menjadi tumpuan ramai, memaksa selebriti Hollywood untuk mengutamakan kesihatan dan kecergasan demi mengekalkan bentuk tubuh yang ideal di hadapan kamera. Dalam perjalanan mereka mengejar kecergasan tersebut, ada kalanya mereka mengikuti diet yang sihat dan ada kalanya mencetuskan tanda tanya buat peminat.
Penurunan berat badan Selebriti Hollywood ini sering menjadi topik hangat dan membuka ruang perbincangan, kerana beberapa daripadanya begitu ekstrem sehingga membuatkan peminat tercengang dan tertanya-tanya tentang kesan jangka panjangnya terhadap kesihatan. Oleh itu, EH! senaraikan tujuh Selebriti hollywood yang telah berjaya menurunkan berat badan mereka.
Intai Tujuh Selebriti Hollywood Yang Berjaya Turun Berat Badan;
1. Adele
Penyanyi terkenal, Adele, menarik perhatian umum apabila dia memuat naik gambar semasa menyambut hari jadi Drake pada Oktober 2019. Kemudian, Adele mendedahkan bahawa semasa kuarantin COVID-19, dia mengamalkan rutin senaman yang intens dengan bersenam tiga kali sehari iaitu pagi, petang, dan malam.
Adele menjelaskan bahawa dia bekerja keras bersama jurulatihnya, Greg Miele, di gim Heart & Hustle di Los Angeles, California untuk memaksimumkan setiap sesi latihannya. Adele juga turut melibatkan diri dalam aktiviti seperti deadlifting, hiking, dan sukan tinju dalam rutin kecergasannya.
2. Kim Kardasian
Nama Kim Kardashian, tidak asing lagi dengan kontroversi berat badan. Penurunan berat badannya yang drastik sempena Met Gala 2022 telah mencetuskan kebimbangan pakar kesihatan yang mengatakan taktik yang mungkin dianggap berisiko. Kim mengamalkan diet yang sangat ketat, memotong pengambilan gula dan karbohidrat dan hanya mengambil sayuran serta protein.
Selain itu, dia turut menjalani latihan yang intensif, termasuk berlari di atas treadmill dan memakai sut sauna, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menurunkan sebanyak 7 kilogram dalam masa tiga minggu.
3. Rebel Wilson
Pelakon Rebel Wilson telah mencatatkan transformasi gaya hidup yang luar biasa pada tahun 2020. Bintang Pitch Perfect ini berjaya mencapai sasaran berat badannya dengan penurunan sebanyak 36 kg dan sejak itu, dia mengekalkan gaya hidup sihatnya, berbanding dahulu yang gemar kepada hidangan manis dan makanan segera, kini dia lebih fokus pada diet yang kaya dengan protein.
“Sebelum ini, saya mungkin mengambil kira-kira 3 ribu kalori setiap hari, dan kebanyakan daripadanya adalah karbohidrat, yang membuatkan saya selalu merasa lapar,” ujarnya. “Saya kemudian membuat keputusan untuk beralih kepada diet tinggi protein, yang merupakan cabaran bagi saya kerana saya bukanlah penggemar daging” sambungnya lagi.
4. Khloe Kardashian
Khloe Kardashian, adik kepada Kim Kardashian, juga telah menarik perhatian ramai dengan transformasi penurunan berat badannya dalam beberapa bulan terakhir. Menangkis segala spekulasi, Khloe menegaskan bahawa dia tidak bergantung kepada ubat-ubatan untuk mencapai bentuk badannya yang langsing. Sebaliknya, dia sangat terbuka mengenai perjalanannya dalam menurunkan berat badan selama bertahun-tahun.
Pada 2017, Khloe melancarkan program penurunan berat badan yang diberi nama “Revenge Body”, sebagai satu bentuk motivasi dan inspirasi. Dia pernah menyatakan bahawa perpisahan dengan bekas suaminya, Lamar Odom, telah membuka mata dan mendorongnya untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri.
5. Jessica Simpson
Jessica Simpson secara terbuka mengakui peningkatan berat badannya semasa hamil. Dia sering memanjakan diri dengan coklat dan donat sebagai sarapan pagi. Selepas kelahiran anak ketiganya, penyanyi, pelakon, dan penulis ini bertekad untuk melakukan perubahan dalam gaya hidupnya, dengan menurunkan berat badan.
Dengan bimbingan dan sokongan daripada jurulatih peribadi serta pakar pemakanan, Harley Pasternak, Jessica melaksanakan program latihan khusus, termasuk berjalan kaki hingga 14 ribu langkah sehari serta rutin ke gim tiga kali seminggu. Selain itu, dia mengubah pola makan dengan meningkatkan pengambilan protein dan serat tinggi, serta memastikan waktu tidur yang cukup untuk keseimbangan kesihatan yang lebih baik.
6. Demi Lovato
Perjalanan Demi Lovato dalam menurunkan berat badan lebih dari sekadar transformasi fizikal, ia merupakan penemuan jati diri. Dia pernah mengalami bertubi-tubi komen negatif dan kenyataan memalukan mengenai badan selepas kenaikan berat badannya. Namun, dengan kesedaran pentingnya kesihatan, dia secara tidak langsung mengambil langkah untuk menurunkan berat badan.
Demi mengakui bahawa perjalanannya bersama makanan dan senaman penuh dengan suka duka. Demi tidak pernah bersembunyi mengenai perjuangannya melawan ketagihan dan masalah kesihatan mental. Insiden overdose pada tahun 2018, yang hampir meragut nyawanya, menjadi titik tolak transformasi hidupnya. Sejak itu, dia berazam untuk mempertahankan ketenangan dan bergerak menuju pemulihan yang menyeluruh.
7. Selena Gomez
Selena Gomez mula menjaga kesihatannya selepas pemindahan buah pinggangnya. Kini, dia memancarkan aura kecergasan dengan tubuh yang ramping dan kulit yang berseri. Sebagai ikon, Selena menjadi sumber inspirasi bagi ramai yang berazam untuk melakukan transformasi positif dalam kehidupan mereka.
Dalam tempoh setahun, Selena berdedikasi untuk merombak diet dan gaya hidupnya menuju yang lebih sihat. Amy Rosoff Davis, selaku pelatih dan mentor Selena, memberikan panduan dan sokongan kepadanya dalam memilih makanan yang seimbang dan menjalankan rutin gaya hidup yang lebih baik.