Jika dilihat pada kemasyuran industri K-Pop dan hiburan Korea kini, banyak kelebihan yang boleh memberi impak besar kepada kerjaya selebriti yang mempunyai kelebihan bertutur dalam bahasa inggeris, memudahkan mereka berhubung dengan peminat di seluruh dunia, sekaligus membuka peluang untuk kerjasama dengan artis antarabangsa dan jenama global.
Tidak semua idola K-pop atau selebriti Korea yang fasih bertutur dalam bahasa asing, tetapi bagi mereka yang lahir atau dibesarkan di luar negara, kebolehan ini menjadi kelebihan besar dalam kerjaya mereka.
Menjadi selebriti yang berada di pentas global, kebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa terutama inggeris bukan sahaja memudahkan mereka berinteraksi dengan peminat, tetapi juga membuka peluang untuk mereka melibatkan diri dalam projek-projek global yang lebih besar, membawa perspektif yang berbeza ke dalam budaya Korea, Oleh itu, mari, EH! senaraikan tujuh selebriti Korea yang lahir di luar negara.
1. Krystal Jung
Dikenali bukan hanya kerana penampilannya yang menawan, tetapi sebagai vokalis utama dalam kumpulan K-Pop F(x). Selepas kumpulan tersebut dibubarkan pada 2019, Krystal beralih ke dunia lakonan dan berjaya mencuri tumpuan dalam beberapa drama popular seperti The Inheritors, Crazy Love, Police University, dan banyak lagi. Kefasihannya berbahasa Inggeris juga terbukti dalam pelbagai temubual bersama media antarabangsa.
Dilahirkan dan dibesarkan di San Francisco, California, sehingga berusia tujuh tahun, yang membolehkannya dia memiliki dua kewarganegaraan iaitu Korea dan Amerika. Sejak debutnya bersama F(x), peminat sering melihat sisi Amerika Krystal, terutamanya dalam rancangan realiti Jessica & Krystal di mana dia sering bercakap dalam bahasa Inggeris bersama kakaknya.
2. Rosé BLACKPINK
Kejayaan BLACKPINK di pentas global tidak perlu dipertikaikan lagi, dan kini tumpuan beralih kepada perjalanan solo ahli-ahli kumpulan ini yang semakin mencuri perhatian. Rosé, atau nama sebenar Park Chaeyoung, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik dengan kejayaan luar biasa, termasuk lagu duet bersama Bruno Mars yang meraih pujian global.
Dilahirkan di Auckland, New Zealand, dan dibesarkan di Melbourne, Australia sejak usia tujuh tahun, latar belakang Rosé yang fasih berbahasa Inggeris memberikan kelebihan besar dalam kerjayanya. Keupayaannya berkomunikasi dengan peminat membantunya menembusi pasaran muzik global dengan mudah, menjadikan dirinya salah satu bintang terbesar di dunia.
3. Jay Park
Tidak hairanlah penyanyi Pop Korea, Jay Park, fasih berbahasa Inggeris kerana dia dilahirkan dan dibesarkan di Seattle, Washington, Amerika Syarikat. Sejak kecil, Jay Park sudah menunjukkan minat mendalam terhadap muzik hip hop dan breakdance. Semasa di Edmonds-Woodway High School, dia menghabiskan masa rehat dan waktu makan tengah hari untuk berlatih menari bersama rakan-rakan.
Pada 2008 Jay Park telah menjadi penyanyi Asia-Amerika pertama yang ditandatangani oleh Roc Nation, label rakaman yang diasaskan oleh Jay-Z. Dan dalam satu wawancara, Jay Park turut menceritakan pengalamannya dijemput ke satu majlis makan bersama Jay-Z dan isterinya, Beyoncé.
4. Park Solomon
Mula mencuri tumpuan selepas membintangi drama popular All of Us Are Dead, Sebelum bergelar pelakon, Park Solomon pernah bercita-cita untuk menjadi K-pop idol. Namun, selepas menyedari bahawa nyanyian bukanlah bakat utamanya, dia membuat keputusan untuk beralih ke dunia lakonan.
Dilahirkan di Tashkent, Uzbekistan, Park Solomon membesar dalam suasana multikultural. Dia pernah berpindah ke Rusia sebelum akhirnya menetap di Korea Selatan. Park Solomon juga mededahkan kebolehan luar biasanya berbahasa dalam lima bahasa iaitu Korea, Cina, Uzbek, Rusia, dan Inggeris yang telah mencuri perhatian peminat setianya.
5. Vernon SEVENTEEN
Dunia hiburan K-pop kini semakin dipenuhi dengan selebriti berbakat yang memiliki darah campuran, dan Vernon dari SEVENTEEN adalah salah seorang daripadanya. Dilahirkan di Tisch Hospital, Kips Bay, Manhattan, Vernon membawa keistimewaan memiliki latar belakang Korea dari bapa dan Amerika dari ibu.
Pada usia lima tahun, dia berpindah ke Hongdae, Korea Selatan bersama keluarganya. Setelah dipilih sebagai trainee di bawah label Pledis Entertainment, Vernon membuat keputusan untuk homeschool, bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjayanya sebagai seorang idol. Kini, dia merupakan salah seorang anggota utama SEVENTEEN.
6. Jeon Somi
Melihat wajah cantik Jeon Somi dan kefasihannya berbahasa Inggeris, pasti ramai yang dapat meneka dia memiliki latar belakang keluarga campuran. Dilahirkan di Ontario, Kanada, ibunya adalah wanita Korea yang berkahwin dengan bapanya yang berasal dari Kanada. Ketika berusia satu tahun, keluarganya berpindah ke Korea Selatan.
Keunikan latar belakangnya turut membawa cabaran dalam hidupnya. Jeon Somi pernah mengungkapkan bahawa dia pernah di buli di sekolah akibat etnik campurannya, malah dia pernah terfikir untuk mewarnakan rambutnya hitam dan menjalani pembedahan supaya kelihatan lebih serupa dengan rakan-rakan Korea.
7. Ailee
Ratu OST yang memukau melalui drama fenomena Goblin, Ailee, bukan hanya terkenal dengan suaranya yang luar biasa, tetapi juga latar belakang uniknya yang menarik perhatian ramai. Dilahirkan di Denver, Colorado, dan dibesarkan di New Jersey, Ailee menghabiskan waktu kanak-kanak dan remajanya sepenuhnya di luar negara.
Pada tahun 2010, dia mengambil langkah berani dengan berpindah ke Korea Selatan dan menandatangani kontrak dengan YMC Entertainment, yang membuka jalan bagi kerjaya muziknya. Baru-baru ini, Ailee turut mengumumkan berita gembira mengenai perkahwinannya dengan Choi Si-hun, peserta dari program popular Single’s Inferno mengejutkan peminat setia mereka.
Artikel Berkaitan: Sudah Jodoh, 7 Selebriti Korea Ini Berkahwin Dengan “Orang Biasa”