Tahun 2023 menyaksikan ramai bintang antarabangsa meninggal dunia, ada yang mengejut ada juga yang sudah lama menderita dengan penyakit kronik. EH! bariskan tujuh pemergian yang paling mengejut dan meninggalkan kesan di kalangan peminat.
Matthew Perry, 54 Tahun
Pemergian bintang siri ikonik F.R.I.E.N.D.S ini ditangisi semua peminat siri ini di seluruh dunia. Siri yang berpanjangan selama 10 musim ini bagaikan sudah membina hubungan rapat amntara penonton dan watak-watak di dalam siri ini. Kehilangan Mathhew Perry yang memeranw atak ‘Chandler’ di dalam siri ini cukup dirasai, bagaikan kehilangan teman sendiri.
Pegawai kesihatan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) mengesahkan punca kematian Matthew Perry adalah akibat kesan sampingan ketamin.Bintang berkenaan ditemui tidak sedarkan diri dalam kolam renang di rumahnya di Los Angeles pada 28 Oktober lalu.
Angus Cloud, 25 Tahun
Pelakon Angus Cloud yang terkenal melalui drama HBO “Euphoria” dilapor meninggal dunia di kediaman keluarganya di Oakland, California, pada Isnin.
Pada awalnya kematian Angus dikaitkan dengan tindakan bunuh diri selepas dia masih meratapi pemergian ayahnya yang meninggal dunia pada Jun lalu. Namun hasil bedah siasat mendapati kematiannya berkait rapat dengan pengambilan dadah berlebihan.
Pihak berkuasa mendedahkan hasil bedah siasat mengesan kehadiran dadah jenis fentanil, metamfetamin, kokain dan beberapa ubat-ubatan terlarang di dalam sistem tubuh aktor berusia 25 tahun itu.
Coco Lee, 48 Tahun
Penyanyi kelahiran Hong Kong ini mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila single sulungnya untuk pasaran Amerika, ‘Do You Want My Love’ meledak. Lagu tersebut berjaya meletakkan namanya sebagai antara penyanyi Asia terawal yang berjaya menguasai pasaran muzik pop Amerika.
Coco Lee meninggal dunia selepas tiga hari koma kesan akibat cubaan membunuh diri. Coco Lee dilaporkan berhadapan dengan kemurungan bertahun-tahun dan dia ada cuba mendapatkan khidmat profesional untuk merawat masalahnya itu.
“Pada 2 Julai, dia cuba membunuh diri di rumah dan dihantar ke hospital. Walaupun pasukan perubatan berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan, Coco meninggal dunia pada 5 Julai 2023,” tulis kakak Coco, Nancy menerusi satu hantaran di media sosial.
Sinéad O’Connor, 56
Sinéad O’Connor atau nama Islamnya, Shuhada’ Sadaqat meninggal dunia pada 26 Julai selepas berhadapan kemurungan yang panjang selepas kematian anak lelakinya Shane. Permata hatinya itu dikhabarkan membunuh diri pada usia 17 tahun tahun lalu.
Penyanyi lagu hit “Nothing Compares 2 U’ itu mencipta kemasyhuran menerusi album debutnya yang juga menyelitkan lagu hit tersebut. Menerusi lagu ciptaan Prince itu, dia mencipta banyak kejayaan termasuk mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama yang memenangi video muzik terbaik di Anugerah Music Television Awards (MTV) pada 1990. Punca kematian Sinéad O’Connor tidak diketahui sehingga ke hari ini.
Lisa Marie Presley, 54
Pembedahan bariatrik yang membantu seseorang menurunkan berat badan dirumuskan sebagai punca kematian personaliti popular Hollywood, Lisa Marie Presley. Berdasarkan laporan aotopsi yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Los Angeles, penyanyi dan pewaris ikon dunia, Elvis Presley itu dikaitkan dengan prosedur penurunan berat badan yang dilakukannya beberapa tahun sebelum kematiannya pada 12 Januari lalu.
Lisa meninggal di sebuah hospital di Los Angeles, selepas dikejarkan ke hospital tersebut oleh pasukan paramedik setelah mendapat panggilan kecemasan yang melaporkan seorang wanita mengalami serangan jantung di rumahnya.
Lisa Presley meninggalkan tiga orang anak perempuan, iaitu Riley Keough (34 tahun) dan pasangan kembar, Harper dan Finley Lockwood yang berusia 15 tahun. Anak lelakinya, Benjamin Keough meninggal pada tahun 2020.
Lisa Presley disemadikan pada 22 Januari lalu di Graceland iaitu kediaman yang pernah didiami bersama bapanya ketika zaman kanak-kanaknya.
Tina Turner, 83
Tina Turner yang menderita sakit berpanjangan meninggal dunia pada 24 Mei di rumahnya di Küsnacht dekat Zurich, Switzerland. Turner menderita penyakit seperti bronkitis, radang paru-paru dan pneumothorax.Tina dilaporkan menghidap kanser usus pada 2016 sebelum menjalani pemindahan ginjal atau buah pinggang setahun kemudian.
Pelantun lagu hit seperti ‘What’s Love Got To Do With It’ dan ‘The Best’ itu sudah menjadi warganegara Switzerland sejak sedekad lalu. Suaminya, Erwin Bach mengambil keputusan mendermakan buah pinggang kepada Turner pada April 2017, sekali gus menyelamatkan nyawa ratu Rock & Roll dunia itu.
Raquel Welch, 82 Tahun
Aktres tersohor, Raquel Welch meninggal dunia pada usia 82 tahun di Los Angeles selepas sakit beberapa hari. Raquel Welch mula meraih populariti selepas membintangi filem sains fiksyen, One Million Years BC pada tahun 1966 yang menyaksikannya memegang watak Loana yang hidup pada zaman batu. Kemunculannya berbikini dalam filem tersebut meltakkan namanya sebagai simbol seks pada waktu itu.
Dia pernah menggenggam trofi Aktres Terbaik menerusi Anugerah Golden Globe pada 1974 menerusi filem sekuel, The Four Musketeers: Milady’s Revenge. Sepanjang lebih 50 tahun dalam dunia seni, Welch membintangi 30 filem dan 50 drama televisyen.
BACA: 7 Selebriti Malaysia Dengan Gaya Outfit Paling On-Point 2023