Di layar kaca, pentas muzik dan media sosial, nama mereka sudah cukup gah tanpa perlu sebarang pangkal. Namun di sebalik nama yang kita kenali sejak bertahun-tahun, ramai selebriti wanita Malaysia sebenarnya membawa gelaran terhormat
Di sebalik gelaran Dato’, Datuk Seri mahupun Tan Sri yang mengiringi nama mereka, tersimpan kisah dan perjalanan yang berbeza. Ada yang menerimanya selepas puluhan tahun mengabdikan diri dalam industri, ada yang diraikan atas sumbangan serta pencapaian luar biasa, malah ada yang melalui beberapa peringkat darjah kebesaran sebelum membawa gelaran lebih tinggi hari ini.
Dalam erti kata lain, same glamorous prefix, very different story. Jadi, dari mana datangnya gelaran yang mengiringi nama mereka? EH! menelusuri kisah di sebalik tujuh selebriti wanita yang menerima pengurniaan darjah kebesaran atas nama sendiri.
1. Dato’ Sri Siti Nurhaliza
Sudah tentu senarai ini tidak lengkap tanpa Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Beliau menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P.) pada 2006 yang membawa gelaran Dato’, sebelum dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P.) pada 2017, sekali gus membawa gelaran Dato’ Sri. Kedua-dua darjah kebesaran itu diterima atas namanya sendiri sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan perjalanan panjangnya dalam industri seni, daripada juara Bintang HMI 1995 hingga diangkat sebagai Biduanita Negara.

2. Tan Sri Dato’ Seri Michelle Yeoh
Daripada Ipoh ke Hollywood, Tan Sri Dato’ Seri Michelle Yeoh menerima gelaran Dato’ menerusi Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P.) pada 2001, sebelum dikurniakan Dato’ Seri pada 2012 dan Tan Sri menerusi Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) pada 2013. Pengiktirafan itu melengkapi perjalanan luar biasanya di pentas antarabangsa, termasuk mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama memenangi Oscar Pelakon Wanita Terbaik pada 2023.

3. Datuk Seri Sheila Majid
Empat dekad dalam industri, deretan lagu malar segar dan sebuah nama yang cukup sinonim dengan muzik Malaysia Sheila Majid kini turut membawa gelaran Datuk Seri selepas dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P.) pada 1 Ogos 2026. Sebelum itu, pelantun Sinaran ini menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P.) pada 2008 yang membawa gelaran Datuk. Pengiktirafan terbaharu ini menjadi satu lagi penghormatan terhadap perjalanan panjang Ratu Jazz Negara itu dalam industri muzik.

4. Datuk Nora Ariffin
Suara di sebalik lagu-lagu seperti Di Persimpangan Dilema dan Hanya Satu ini juga mempunyai kisah di sebalik gelaran yang dibawanya. Nora Ariffin, atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin, menerima Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan pada 2021. Pengurniaan tersebut hadir selepas kira-kira tiga dekad beliau membina nama dalam bidang seni. Disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ketika pandemik COVID-19, istiadat pengurniaan berlangsung kemudian pada 23 Mac 2021.

5. Datuk Aishah
Daripada mencipta nama bersama kumpulan The Fan Club di New Zealand sehinggalah menjadi salah seorang penyanyi wanita paling disegani Malaysia, perjalanan seni Datuk Aishah sememangnya panjang dan penuh warna. Selepas lebih 35 tahun berkecimpung dalam industri seni, beliau dikurniakan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (D.B.N.S.) yang membawa gelaran Datuk, bersempena Hari Keputeraan Ke-74 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

6. Datuk Francissca Peter
Penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran ini dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P.) pada 1 Ogos 2022, yang membawa gelaran Datuk. Beliau menerima pengurniaan tersebut bersama penyanyi Siti Fairuz dalam istiadat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Ketika itu, beliau sudah mempunyai perjalanan seni lebih empat dekad dengan deretan lagu popular seperti Kerna Terpaksa dan Aku Hanya Pendatang.

7. Datuk Ziana Zain
Nama terbaharu dalam senarai ini ialah Datuk Ziana Zain. Selepas lebih tiga dekad mengukir nama sebagai antara diva pop paling popular negara, beliau menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) pada 24 Ogos 2026, yang membawa gelaran Datuk. Pengurniaan itu berlangsung bersempena Hari Jadi Ke-77 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh. Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain merupakan antara 189 individu yang menerima D.P.S.M. pada istiadat berkenaan.

Artikel Berkaitan: 7 Selebriti Malaysia Bergelar Tengku dan Keturunan Di-Raja
