Tahun baru bakal menyusul dan Januari ini hadir dengan deretan K-drama baharu yang kembali mengisi layar, bersedia menemani malam-malam anda dengan kisah cinta, konflik dan emosi yang mewarnai hari-hari awal tahun.
Tahun baharu, senarai tontonan pun bertambah. Januari ini membuka tirai dengan barisan K-drama baharu yang kembali mengisi layar, menjadikan awal tahun lebih seronok untuk diluangkan di hadapan skrin. Untuk memudahkan pilihan, EH! senaraikan deretan K-drama baharu yang bakal menemani peminat setia sepanjang Januari ini. Sesuai untuk mengisi malam-malam awal tahun, sama ada untuk ditonton secara maraton atau dinikmati satu episod demi satu.
1. The Judge Returns
Drama ini mengangkat kisah Lee Han-Young, seorang hakim yang terlibat dengan rasuah tiba-tiba kembali ke masa lalu, sepuluh tahun sebelum kejatuhannya. Dibintangi Ji Sung, Park Hee-soon dan Won Jin-ah, drama ini penuh konflik kuasa dan keadilan. Dengan tema manipulasi undang-undang dan shadow government, The Judge Returns menjanjikan ketegangan dan penceritaan yang matang buat penonton.
2. To My Beloved Thief
Berlatarbelakangkan era Joseon, drama ini menggabungkan elemen sejarah, fantasi dan percintaan. Ia mengisahkan seorang wanita bangsawan yang hidup sebagai noble thief, bertembung dengan seorang putera raja yang ditugaskan menangkapnya. Pertukaran roh yang tidak dijangka mencetuskan konflik identiti dan cinta terlarang, menjadikan drama ini unik.
3. Spring Fever
Sebuah drama romantik yang lebih tenang dan menyentuh jiwa. Kisah seorang guru wanita yang meninggalkan Seoul selepas patah hati dan bertemu lelaki yang mengubah hidupnya. Dibintangi Ahn Bo-hyun dan Lee Joo-bin, Spring Fever menawarkan penceritaan lembut tentang penyembuhan, harapan baharu dan cinta yang hadir tanpa paksaan.
4. No Tail To Tell
Drama fantasi moden ini mengisahkan seorang gumiho yang gemar menikmati kehidupan manusia tanpa rasa tanggungjawab, sebelum satu kemalangan mengubahnya menjadi manusia biasa. Dibintangi Kim Hye-yoon dan Lomon, drama ini menarik kerana mengupas emosi manusia, kehilangan dan makna sebenar menjadi manusia.
5. Can This Love Be Translated
Kisah cinta antara seorang jurubahasa pelbagai bahasa dan seorang pelakon terkenal ini menampilkan hubungan yang segar. Dibintangi Kim Seon-ho dan Go Youn-jung, drama ini mengisahkan bagaimana perbezaan cara berkomunikasi dan memahami cinta boleh mencetus salah faham, sebelum perlahan-lahan membina hubungan yang lebih matang dan jujur.
6. Undercover Miss Hong
Berlatarbelakangkan akhir 1990-an, drama ini mengikuti seorang pegawai elit yang menyamar sebagai pekerja muda untuk menyiasat penyelewengan kewangan. Dibintangi Park Shin-hye dan Ko Kyoung-pyo, drama ini menggabungkan elemen penyamaran, dunia korporat, komedi ringan dan konflik romantik yang kompleks.
7. Positively Yours
Sebuah romcom terbalik tentang hubungan yang bermula daripada satu malam tidak dirancang. Kisah “shotgun romance” antara pewaris chaebol dan wanita kerjaya ini mengetengahkan isu komitmen, trauma masa lalu dan pilihan hidup. Dengan elemen humor dan emosi seimbang, drama ini sesuai untuk penonton yang sukakan kisah cinta moden dengan konflik realistik.
8. Recipe For Love
Drama keluarga ini menyatukan kisah dua keluarga yang bermusuhan sejak lama, perlahan-lahan disatukan melalui cinta dan penyembuhan emosi. Berlatar dunia fesyen dan impian peribadi, Recipe For Love menampilkan kisah romantik yang hangat tentang memaafkan masa lalu dan membina masa depan bersama.
Artikel Berkaitan: Filem Bakal Menggegarkan Panggung Tahun 2026
