Teka-teki mengenai pemfailan cerai yang dibuat oleh Adi Putra ke atas isteri pertamanya iaitu Aida Yusof terjawab pabila dia mengesahkan yang dia sudah pun berpisah dengan kedua-dua isterinya termasuklah Norshahida Dzolkifly.
Adi memaklumkan berita itu menerusi laman Instagramnya semalam. Aktor terkenal itu memuat naik sekeping gambar kedua-dua isterinya itu berserta kapsyen yang mana bertulis ;
“Ramai yang bertanyakan mengenai status rumah tangga saya. Di sini saya ingin nyatakan, saya tidak ada apa-apa hubungan dan kaitan lagi dengan Aida dan Shahida (Norshahida). Kepada rakan media yang saya hormati, tiada apa-apa kenyataan lagi untuk diberi.Dan berilah penghormatan kepada Aida dan Shahida supaya tidak diganggu. Terima kasih.”
Namun, post tersebut dipercayai telah pun dipadamkan dari akaun Instagramnya pada hari ini. Baru-baru ini Adi dikatakan telah memfailkan cerai dengan Aida di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Bahkan, itu bukanlah kali pertama Adi bertindak sedemikian kerana pada Mei 2012, pelakon ini turut pernah memfailkan penceraian terhadap isterinya itu tetapi ditarik semula.
Hujung tahun lepas, ada juga khabar angin yang mengatakan hubungan Adi bersama Shahida telah goyah tetapi dia menafikannya. Adi dan Aida berkahwin pada tahun 2006, namun tidak dikurniakan anak serta hanya mengambil seorang anak angkat.
Tahun lalu, Adi bernikah bersama Shahida yang mana merupakan rakan kongsi perniagaannya.