Kini, Afifah Nasir pula tampil membuat kenyataan terbuka berhubung kes kontroversinya yang dikaitkan dengan Aliff Aziz.
Tidak mahu memanjangkan atau mengeruhkan lagi keadaan, Afifah Nasir kini membuat permohonan maaf secara terbuka di hadapan pihak media. Afifah memahami perasaan isteri Aliff yang masih dalam keadaan berpantang dan mengaku yang Bella tidak bersalah dalam soal ini.
Namun, ketika ditanya adakah dia memaafkan Aliff, Afifah tidak mahu memberikan sebarang komen sebaliknya menjawab, “Saya ada banyak bukti-bukti termasuklah bukti perbualan tetapi sejujurnya saya tidak mahu keluarkan bukti-bukti tersebut kerana tidak mahu keruhkan keadaan selain membuka aib sesiapa,” katanya.
Topik Berkaitan : Aliff Aziz Mengaku Bersalah Dan Sudah Berdamai Dengan Isteri
Adik kepada Anzalna Nasir ini mengaku yang dirinya bersalah kerana membenarkan Aliff memegang tangannya ketika pergi ke sebuah tempat karaoke di Cheras sebelum ini, dan disebabkan itu juga dia meminta maaf.
Bukan itu sahaja, menerusi sidang media itu yang berlangsung di pejabat peguam Ruben & Co, Afifah turut menyatakan yang mana dia seakan menjadi mangsa keadaan.
“Apa yang berlaku sebenarnya hanya lakonan sahaja, pihak produksi yang meminta saya menjaga hubungan dengan Aliff agar dia datang ke lokasi penggambaran. Mereka memujuk saya supaya Aliff datang lokasi dan memberi kerjasama berikutan penggambaran sepatutnya mengambil masa sebulan kini sudah lebih dua bulan kerana masalah disiplin Aliff,” ujarnya kepada mStar Online.
Afifah turut menyesal kerana mengikuti perancangan tersebut hanya untuk memastikan penggambaran mereka lancar tetapi pabila jadi begini, dia akui yang mana tiada seorang dari pihak produksi yang menyebelahinya.
Pada masa yang sama, Afifah turut memperdengarkan rakaman suara antara kakaknya, Anzalna dengan seorang kru produksi tersebut yang bercakap soal niat mereka itu untuk melancarkan sesi penggambaran, namun pihak media tidak dibenarkan untuk berkongsi akan intipati rakaman itu.