Selepas 14 tahun berlalu, kini peserta-peserta Akademi Fantasi musim pertama (AF1) bersetuju untuk mengadakan reunion.
Demi untuk mengimbau kembali kenangan lalu, Nana Mahazan berpakat untuk mengumpulkan kesemua peserta AF1 dengan diikuti dengan persembahan istimewa.
Reunion tersebut bakal diadakan di Live at Comedy Planet, Great Eastern Mall pada 6 an 7 Mei. Bukan hanya Nana seorang yang bakal membuat persembahan, malah Khai, Rosma, Vince, Nija, Azizi, Burn, Sahri, Atie, Azza, Liza dan Adi juga bakal menyerikan lagi reunion tersebut dengan kemunculan mereka.
Sebenarnya hasrat Nana untuk mengadakan reunion tersebut sudah bertahun-tahun lamanya terpendam. Disebabkan tidak mahu menunggu lama lagi, Nana sendiri mengambil inisiatif untuk memberitahu pada peserta AF1 yang lain.
“Saya tidak kisah untuk menjadi ‘tauke panggung’ sekalipun dan buat semua perkara asalkan apa yang dihajati itu dapat dipenuhi. Alhamdulillah, semua kawan AF1 bersetuju untuk turut serta. Misi persembahan ini lebih kepada menyatukan 12 finalis AF musim pertama. Selain dapat melepas rindu sesama sendiri, apa salahnya kami tempiaskan rasa rindu itu kepada mereka yang pernah membesar dengan program realiti ini,” katanya kepada BH Online.
Tidak kisah jika tiada sebarang sambutan dari peminat atau penonton, bagi Nana yang penting mereka dapat bergembira dengan bersua kembali dengan mengimbau kenangan lalu.
Penonton yang berminat boleh mendapatkan tiket yang dijual pada harga RM75 (untuk yang membuat tempahan awal) dan RM90 jika ingin mendapatkannya di lokasi majlis reunion itu nanti.
Persembahan bakal diadakan pada kedua-dua hari, namun mengikut perancangan pada 6 Mei hanya akan ada sebuah persembahan iaitu pada sebelah malam dan pada 7 Mei akan ada dua slot iaitu petang dan malam.