Putera sulung kepada pasangan legenda muzik Indonesia, Ahmad Dhani dan Maia Estianty, iaitu Al-Ghazali, selamat bergelar suami kepada pilihan hatinya, Alyssa Daguise, dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung pada 16 Jun 2025 di Setiabudi, Jakarta Selatan.
Disatukan dalam suasana tertutup namun penuh bermakna, Al hanya dengan sekali lafaz menyempurnakan ijab kabul yang menyaksikan Alyssa Daguise sah menjadi isterinya. Model jelita kacukan Indonesia-Perancis itu menerima mas kahwin berupa emas seberat 16.6 gram dan wang tunai berjumlah RM9,940, melengkapkan ikatan cinta yang telah lama terjalin.
Majlis pernikahan yang dirancang sejak tahun lalu ini bukan sahaja mencuri perhatian kerana keindahan dari prosess bersiram hingga ke akad nikah, tetapi juga kerana kehadiran individu penting yang merestui penyatuan ini. Antara yang paling mencuri tumpuan ialah kehadiran ibu Al, Maia Estianty, yang duduk di sisi anak sulungnya di hari bahagia itu, ditemani suaminya, Irwan Mussry. Turut hadir ialah Ahmad Dhani yang juga hadir bersama isterinya, Mulan Jameela.
Kesemua adik-beradik Al, termasuk adik tirinya turut hadir meraikan hari bersejarah ini, memperlihatkan keharmonian keluarga yang menyentuh hati ramai. Momen yang mempertemukan dua bekas pasangan ini dalam satu majlis turut menjadi perbualan hangat netizen, apatah lagi setelah sekian lama mereka membawa haluan masing-masing.
Kisah cinta Al dan Alyssa sudah lama menjadi sorotan media dan peminat. Mereka pernah melalui fasa perpisahan selama setahun, membawa haluan masing-masing dan berkenalan dengan orang baharu. Namun takdir membuktikan bahawa jodoh tidak pernah tersasar dimana cinta mereka akhirnya kembali bertaut dan kini disatukan dalam ikatan yang sah.
Dalam suasana yang penuh rasa syukur dan emosi, pasangan ini mengikat janji setia untuk memulakan lembaran baru sebagai suami isteri. Majlis berlangsung dengan elegan, tenang dan penuh rasa kekeluargaan.
Berita pernikahan ini disambut meriah oleh peminat dan rakan selebriti. Ruangan komen di media sosial pasangan ini dibanjiri dengan ucapan tahniah daripada nama-nama terkenal seperti Syifa Hadju, Tissa Biani, dan Aaliyah Massaid, selain rakan selebriti lain yang turut berkongsi kegembiraan mereka.
Ramai menyifatkan perkahwinan ini sebagai satu permulaan baharu yang indah buat generasi baharu keluarga Ahmad Dhani dan Maia, yang selama ini sentiasa menjadi perhatian umum.
Selepas majlis akad nikah yang penuh momen menyentuh hati, Al dan Alyssa akan meraikan perkahwinan mereka dalam majlis unduh mantu yang dijadual berlangsung pada 19 Jun ini, dan pastinya bakal menjadi satu lagi peristiwa glamor yang dinanti-nantikan oleh peminat serta rakan artis.
Artikel Berkaitan: Kenali Tengku Natasya Adnan & Ahli Keluarga