Filem Disney-Pixar terbaharu, “Lightyear” yang menampilkan Chris Evans tidak mendapat kebenaran untuk ditayangan di 14 buah negara, termasuklah Malaysia.
Buzz Lightyear tidak akan beraksi di Malaysia! Filem Disney-Pixar terbaharu, “Lightyear” telah mencipta kontroversi selepas tidak mendapat kebenaran untuk ditayangkan di 14 buah negara di Asia dan Timur Tengah, termasuklah Malaysia. Filem animasi ini telah membuat tayangan perdana pada 8 Jun 2022 di El Capitan Theatre di Hollywood.
Selain Malaysia, antara negara lain yang turut mengharamkan tayangan “Lightyear” termasuklah Emeriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Indonesia, Kuwait, Lebanon dan Mesir. China juga dijangkakan akan mengharamkan tayangan filem ini di seluruh negara mereka.
Filem “Lightyear” dibintangi oleh Chris Evans selaku peneraju utama. Pelakon Marvel yang popular dengan watak Captain America itu menyumbangkan kepada watak ikonik, Buzz Lightyear. Alasan filem animasi ini tidak mendapat kebenaran untuk ditayangkan adalah kerana ia mempunyai adegan ciuman antara dua karakter wanita yang merupakan sahabat baik kepada Buzz.
Pada awalnya, kerajaan Malaysia meluluskan tayangan filem ini selepas melalui proses penapisan pada elemen homoseksual mengikuti standard penapisan negara. Tetapi selepas menerima kelulusan Lembaga Penapis Filem Malaysia, syarikat pengedaran The Walt Disney Company (Malaysia) Sdn. Bhd membuat keputusan untuk tidak menayangkan di Malaysia.
“Lightyear” adalah filem animasi berdasarkan karakter Buzz Lightyear daripada francais popular “Toy Story” yang pertama ditayangkan pada 1995. Siri terakhir “Toy Story 4” yang membuat debut pada 2019 telah berjaya mengutip lebih US$ 1 billion di seluruh dunia.
Filem animasi ini bukanlah yang pertama diharamkan tayangan di Malaysia. Pada 1998, filem “The Prince of Egypt” yang menampilkan visual Nabi Musa A.S telah diharamkan, selain “Abominable” pada tahun 2019.
Foto: Getty Images
Baca lebih lanjut: Raikan Hero Anda Dengan Kek Hari Bapa Eksklusif