Lebih sedekad lamanya Hairul Azreen melibatkan diri dalam bidang hiburan bukan sahaja sebagai pelakon, tetapi juga penerbit dan sutradara.
Kini aktor berusia 35 tahun itu membuat satu keputusan besar dalam hidupnya. Sewaktu menjadi tetamu segmen 3 Pagi Era di radio Era baru-baru ini, Hairul Azreen memaklumkan dia akan berundur dari industri yang telah sebati dalam dirinya sejak 15 tahun lalu.
Pengumuman itu nyata mengejutkan deejay Azad Jasmin dan Radin serta dua lagi penyampai jemputan, Linda Onn dan Halim Othman. Keputusan yang amat tidak dijangka apatah lagi filem terbaharunya, Malbatt: Misi Bakara sedang dipromosikan. Ini bermakna filem yang bakal ditayangkan pada 24 Ogos itu menandakan kemunculan terakhirnya sebagai seorang pelakon.
“Saya nak umumkan yang saya mahu berhenti berlakon untuk selamanya. Allah sudah beri saya pelbagai peluang melainkan saya seorang yang tidak bersyukur. Bermula dari kerja belakang tabir, ekstra, pengarah sehinggalah menjadi penerbit.
“Saya juga sudah buat semua perkara. Saya bermula sebagai pelakon lagak ngeri, kemudian pelakon filem dan Allah makbulkan doa saya untuk menjadi hero filem aksi. Perjuangan saya biarlah saya akhiri dengan filem yang membanggakan saya iaitu Malbatt: Misi Bakara,” ujarnya.