Menerusi temu ramah sebagai gadis penghias kulit majalah Vogue edisi April 2021, Selena Gomez mendedahkan dia mungkin akan menamatkan kerjaya dalam bidang muzik tidak lama lagi.
Apa alasannya? “Agak sukar untuk menghasilkan muzik apabila anda tidak dipandang serius. Saya pernah bertanya kepada diri sendiri, ‘Apa gunanya? Mengapa saya masih terus berkarya?’” ujar Gomez.
“Saya rasakan Lose You to Love Me adalah lagu terbaik yang pernah saya hasilkan, namun buat sesetengah pihak ia masih tidak mencukupi.”
Gomez melancarkan Lose You to Love Me pada Oktober 2019. Ramai mempercayai bahawa lagu tersebut mengambil inspirasi daripada bekas teman lelakinya, Justin Bieber yang kini bergelar suami kepada Hailey Bieber.
Lagu balada yang berkisar tentang perpisahan dua insan bercinta itu merupakan single pertamanya yang berjaya menjuarai carta, namun gagal mendapat sebarang pencalonan Grammy.
Ia diikuti oleh album solonya yang ketiga, Rare yang dinamakan sebagai Album Penyanyi Wanita Terbaik 2020 oleh Insider. Projek terbaharunya, Revelación akan dilancarkan Jumaat ini.