Berikutan kes keretakan rumah tangga Aliff Aziz dan isterinya, Bella Astillah yang dikaitkan dengan orang ketiga kini kian pulih apabila penyanyi itu membuat pengakuan secara terbuka tentang kesilapannya.
Pelakon dan penyanyi kelahiran kota Singapura itu telah mengaku curang terhadap isterinya iaitu Bella Astillah setelah ditemui keluar berdua bersama wanita lain yang dipercayai Afifah Nasir, adik kepada Anzalna Nasir.
“Dengan rasa rendah diri saya mengaku bersalah keluar bersama wanita lain (Afifah Nasir) tanpa pengetahuan isteri saya, Bella. Apa yang boleh saya katakan pokok tidak akan bergoyang kalau tiada angin,” ujarnya ketika membuat kenyataan secara terbuka di Shah Alam.
Aliff turut meminta maaf kepada semua pihak yang menerima tempias atau impak berdasarkan kejadian itu dan berharap supaya tiada lagi pihak yang mahu memanjangkan isu itu.
Walaubagaimanapun, Aliff menafikan dakwaan yang dirinya telah memukul serta mencampakkan telefon terus ke muka Bella yang masih berada di dalam keadaan pantang ketika kekecohan berlaku di pusat karaoke di Cheras minggu lalu seperti yang diperkatakan ramai menerusi media sosial.
“Saya juga tidak menyalahkan isteri atas tindakannya membuat laporan polis. Apa saya boleh katakan, jika saya berani mengakui perkara ini, Afifah juga perlu berani berbuat sedemikian bagi menamatkan segala spekulasi orang luar. Lagipun dia juga tahu apa yang berlaku antara kami. Orang kata, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Cuma terpulang sama ada dia nak membuat kenyataan atau tidak. Saya tidak mahu memaksanya,” katanya.
Menurut Aliff lagi, “Isteri saya telah menarik balik dakwaan yang telah dibuat pada hari Jumaat lalu dan kami telah berdamai.”
“Saya tarik semula laporan kerana memikirkan rumah tangga dan anak. Saya buat laporan bukan ingin mendedahkan sikap buruk suami, sebaliknya mahu masyarakat tahu wujud orang ketiga dalam rumah tangga kami,” ujar Bella kepada media.
Berikutan dakwaan mengasari isterinya, Aliff dikatakan telah ditahan oleh pihak polis pada Jumaat lalu. Aliff dibebaskan dua hari selepas itu di lokap Balai Polis Dang Wangi dan kini sedang menyambung penggambarannya semula.