Dalam diam-diam aktor Crazy Rich Asians, Henry Golding rupanya telah pun menyambut kehadiran anak kedua bulan lalu.
Khabar gembira itu dikongsi Henry Golding dan isterinya, Liv Lo dalam satu hantaran di Instagram. Puteri kedua mereka dilahirkan pada 9 September 2023.
“Proses kelahiran penuh dengan pahit manis, namun ia tidak dapat menandingi kehebatannya. Ini pengalaman kami fit-sphere.com,” tulis mereka.
Video montaj yang dimuat naik menunjukkan momen-momen indah keluarga kecil mereka di hospital. Dari proses kelahiran, sehinggalah detik puteri mereka dibawa pulang ke rumah buat kali pertama.
Puteri Henry Golding Ditahan Di NICU
Di laman web kesihatan Fitsphere, Liv Lo berkongsi lebih lanjut tentang anak keduanya termasuk komplikasi yang dialami selepas dilahirkan.
“Selepas tiga kali meneran, Florence Likan Golding seberat 3.18 kilogram selamat dilahirkan jam 9.03 pagi pada 9/9/23,” tulisnya.
Dia menambah, puterinya terpaksa diberi antibiotik selama sepuluh hari kerana mengalami kesukaran bernafas.
“Hampir dua minggu pertama dalam hidupnya, dia perlu berada di NICU (Unit Perawatan Intensif Neonatal),” tulisnya.
Liv Lo turut ditahan di hospital tiga hari selepas bersalin kerana mengalami jangkitan darah. Syukur kedua-duanya kini telah pulih sepenuhnya.
Henry Golding dan isterinya mengikat tali perkahwinan pada 20 Ogos 2016 di sebuah resort di Sarawak. Mereka dikurnia anak sulung, Lyla lima tahun kemudian.
Dalam temu bual bersama Good Morning America pada Julai 2021, aktor Iban-Inggeris itu berkata menjadi bapa meletakkan segala-galanya dalam perspektif sempurna.
“Ia membuatkan saya betul-betul fokus pada perkara yang benar-benar penting dalam hidup.”
Baca: “Pengarah Sekuel Crazy Rich Asians Perlu Dikurung” – Henry Golding