Jumlah kes Covid-19 yang terus meningkat di Amerika Syarikat memaksa penganjur untuk menunda Anugerah Grammy tahun ini ke 14 Mac 2021.
Anugerah Grammy ke-63 yang telah dijadualkan akan bersiaran secara langsung pada hujung bulan ini telah ditunda ke tarikh yang baharu. Menurut Recording Academy, majlis Grammy untuk edisi 2021 ini akan berlangsung pada hari Ahad, 14 Mac 2021.
Kenyataan rasmi penangguhan ini telah dikeluarkan oleh President/CEO Recording Academy, Harvey Mason Jr., Timbalan President Eksekutif CBS, Jack Sussman, dan juga Penerbit Eksekutif Anugerah Grammy, Ben Winston dari Furwell 73 Productions.
Keputusan ini telah dipersetujui semua pihak selepas perbincangan penganjur utama bersama pakar kesihatan, hos, barisan calon dan selebriti yang akan hadir nanti untuk menjamin keselamatan semua. Jumlah kes Covid-19 di Los Angeles, California yang terus meningkat dengan mendadak menjadi penyebab utama penangguhan kali ini. Sehingga hari ini, California mencatatkan lebih 2.51 juta kes dan 27,461 kematian.
Pencalonan Anugerah Grammy kali ini diketuai oleh Beyonce yang menerima pencalonan tertinggi iaitu sembilan, termasuklah untuk kategori lagu dan record terbaik. Sementara Dua Lipa, Taylor Swift dan Roddy Ricch mengekori dekat dengan enam pencalonan masing-masing. Pengacara The Daily Show with Trevor Noah, Trevor Noah akan kekal menggalas tanggungjawab sebagai hos untuk edisi tahun ini.
Majlis Grammy tahun lalu menyaksikan penguasaan Billie Eilish selepas penyanyi yang popular dengan lagu Bad Guy itu merangkul lima kategori iaitu Artis Baharu Terbaik, Lagu Terbaik, Record Terbaik, Album Terbaik dan Album Pop Terbaik. Lizzo pula menerima pencalonan tertinggi melalui lapan kategori, diikuti oleh enam pencalonan oleh Billie Eilish dan Lil Nas X.
Baca lebih lanjut: Dua Bulan Putus Tunang, Olivia Wilde Kini Bercinta Dengan Harry Styles
Foto: Instagram @billieeilish