Oleh: Farhana Fuad
Malam tadi, Stadium Putra Bukit Jalil bergema dengan sorakan peminat dan persembahan hebat dari 12 finalis yang bertanding untuk Anugerah Juara Lagu ke-29. Ia berlangsung dengan jayanya dengan menampilkan yang terbaik serta pentas pembukaan dan selingan yang memukau.
Kemeriahan AJL kali ini sungguh memukau dengan kehadiran VIP dan artis serta peminat yang tidak henti menyokong barisan finalis yang bersaing sengit untuk merangkul juara tahun ini. EH! turut serta dalam majlis penuh gilang gemilang yang dipaparkan secara langsung secara global melalui kaca televisyen dan laman web rasmi www.anugerahjuaralagu.com/ajl29.
Juri profesional telah sebulat suara memilih lagu Apa Khabar oleh Joe Flizzow dan SonaOne sebagai Juara Lagu ke-29 sementara Shila Amzah sebagai Naib Juara dan tempat ketiga milik Dayang Nurfaizah. Dayang turut membawa pulang trofi Vokal Terbaik dan paling bermakna adalah pemenang Persembahan Terbaik yang jatuh kepada Mojo yang menampilkan pemuzik dan vokalis istimewa Caliph Buskers. EH! kongsikan sekitar kehangatan malam gemilang Anugerah Juara Lagu ke-29.