Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjelma lagi disebabkan kes Covid-19 yang meningkat hari demi hari. Dan demi mematuhi arahan daripada pihak kerajaan, Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35) terpaksa ditunda.
AJL35 sepatutnya bersiaran secara langsung pada 7 Februari 2021 dalam suasana norma baharu, iaitu tanpa kehadiran penonton serta mengikut prosedur kerja selamat atau SOP dan langkah keselamatan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Lokasinya juga bertukar, bukan lagi di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur tetapi di Dewan MBSA, Shah Alam, Selangor. Sebelum ini, Penerbit Eksekutif, Nurul Huda mengatakan lokasi tersebut bertepatan dengan kapasiti kru yang terlibat di mana jumlah tenaga kerja dikurangkan.
Bercakap mengenai pembatalan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Khairul Anwar Salleh menjelaskan tempoh 14 hari PKP akan mengekang tugas-tugas persediaan AJL35.
“Ketika dalam sidang media AJL35 semalam, saya dan Penerbit Eksekutif AJL35, Puan Huda sememangnya berharap agar PKP tidak dilaksanakan, dan AJL35 boleh berlangsung seperti yang dijadualkan.
“Namun, semalam, Perdana Menteri menguatkuasakan PKP bermula hari esok sehingga 26 Januari depan. Tempoh 14 hari PKP ini akan mengekang tugas-tugas persediaan AJL35, terutama kerja-kerja pembinaan pentas dan set lain.
“Hal ini kerana, kerja-kerja pembinaan tersebut memerlukan tenaga kerja yang ramai. Oleh itu, untuk kebaikan semua pihak, kami memutuskan untuk menunda majlis anugerah ini ke tarikh yang akan diberitahu kelak, sebaiknya setelah tempoh PKP ditamatkan secara rasmi,” ujarnya.
Khairul juga memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat, mahupun secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan AJL35.
“Kami berharap juga agar semua rakyat akan patuh PKP demi kebaikan dan keselamatan kita semua,” katanya.
Sebanyak 12 lagu bakal dipertandingkan iaitu Hati (Hael Husaini), Belenggu Rindu (Jamal Abdillah dan Wani Hasrita), Peluang Kedua (Nabila Razali), 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta ), Aku Bidadari Syurgamu (Aishah), Semalam (Aina Abdul), Hutang (Floor 88), Gundah (Ernie Zakri), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter), Eh (Zizi Kirana), Kau Sakiti (Amir Masdi) dan Gila (Kaka Azraff, Noki, Loca B).