Bintang The Queen’s Gambit, Anya Taylor-Joy kini secara rasminya bergelar isteri kepada pemuzik Malcolm McRae.
Pasangan merpati dua sejoli itu disatukan pada 30 September lalu di bangunan bersejarah abad ke-15, Palazzo Pisani Moretta di Grand Canal, Venice, Itali.
Di lokasi sama, mereka diraikan dalam majlis resepsi meriah yang dihadiri 100 tetamu dari kalangan ahli keluarga dan rakan selebriti.
Antara yang hadir termasuk Cara Delevingne, Julia Garner, Miles Teller, Evan Ross dan Nicholas Hoult, pelakon gandingannya dalam The Menu.
Kelibat Anya Taylor-Joy berdiri di balkoni dalam gaun perkahwinannya sempat dirakam paparazi. Dia tampil begitu anggun dalam gaun tulle Dior rona taupe berperincian bunga dan siluet burung.
Gayanya disempurnakan dengan vel panjang tradisional rona putih. “She was a vision,” kata satu sumber, merujuk kepada penampilan ratu seharinya.
Anya Taylor-Joy Dilapor Berkahwin Secara Rahsia
Ini bukanlah kali pertama berita perkahwinan Anya Taylor-Joy menjadi bualan di internet. Julai tahun lalu tular dakwaan bahawa aktres berusia 27 tahun itu telah pun berkahwin tanpa pengetahuan peminat.
Spekulasi ini tersebar setelah bintang Last Night In Soho itu dirakam menyarung sebentuk cincin bertatah batu berlian hijau di jari manisnya. Mereka dilaporkan mendaftar perkahwinan di mahkamah, bagaimana kesahihan berita ini tidak dapat dipastikan.
Pasangan itu menjalin cinta selama setahun sebelum mendedahkan perhubungan mereka kepada umum dengan tampil bersama di karpet merah Oscar pada Februari 2022.
Sebulan kemudian, Anya Taylor-Joy bercakap terbuka mengenai hubungan romantisnya dengan Malcolm McRae buat kali pertama kepada British Vogue.
“Saya akhirnya berjaya menemui seseorang yang dengan rela hati duduk diam di sebelah saya dan membaca bersama.
“Kami ibarat berusia 80 tahun dan tujuh tahun pada masa yang sama, dan ia amat menyenangkan,” ujarnya.
Baca: Rita Ora dan Taika Waititi Berkahwin Secara Rahsia Di London