Tiktoker Korea, Sean Solo telah meraih jutaan tontonan menerusi video-videonya yang menyindir watak terkenal “Hongdae Guy.” Dalam video ringkasnya, Sean melakonkan pelbagai situasi di mana watak lelaki yang terlalu yakin dan perasan kacak, ingin mendekati wanita, kebiasaannya pelancong asing dengan harapan untuk “berkenalan lebih rapat.”
Sean menggunakan pengalamannya dalam budaya dating Korea untuk menghasilkan kandungan yang tular dan menghiburkan. Beberapa dialog dalam videonya juga telah menjadi ‘soundbite’ yang lekat di ingatan ramai seperti “Are you open minded?”
Lengkap dengan iPhone 16 Pro Max dan jaket kulit hitam, watak Hongdae Guy kini menjadi sensasi di media sosial. Untuk mengenali dengan lebih dekat lelaki di sebalik sketsa komedi berdurasi 15 saat ini, jom scroll dan semak beberapa fakta menarik tentang Sean Solo di bawah.
1. Anak kaya kerana pernah belajar di sebuah sekolah antarabangsa Korea Selatan.
Dalam kebanyakan videonya, Sean bertutur dalam bahasa Inggeris dengan loghat Korea yang stereotaip ketika cuba mendekati “temu janji” sasarannya. Namun, di luar TikTok, dia sebenarnya fasih berbahasa Inggeris hasil daripada latar belakang pendidikannya di sekolah antarabangsa.
Menariknya, Sean juga memegang pasport Kanada kerana ibunya dilahirkan di Kanada di mana undang-undang negara itu membenarkan hak kewarganegaraan diwarisi oleh anak-anak.
2. Sean mula menghasilkan kandungan digital selepas tamat latihan ketenteraan.
Penglibatan Sean dalam dunia digital bermula pada Mei 2022, sejurus selepas beliau menamatkan khidmat ketenteraan wajib di Korea Selatan. Disebabkan latar belakang antarabangsa yang dimilikinya, Sean telah ditempatkan di bawah program KATUSA iaitu skim khas yang menempatkan askar Korea Selatan dalam unit tentera Amerika Syarikat yang berpangkalan di Korea.
Selepas tamat perkhidmatan, seorang rakannya mencadangkan agar dia membuka akaun TikTok. Walaupun beberapa hantaran awalnya tidak mendapat banyak perhatian, akaunnya mula meledak apabila dia semakin kerap melakukan siaran langsung. Kini, Sean telah mengembangkan pengaruhnya ke platform lain seperti saluran YouTube dan penstriman Twitch.
3. Sean pernah dibuli kerana berat badannya.
Semasa zaman kanak-kanaknya, Sean menjadi mangsa buli daripada rakan sebaya, yang turut memberi kesan kepada prestasinya di sekolah. “Saya dibuli kerana berbadan besar. Saya tak mahu ambil tahu langsung tentang sekolah. Saya abaikan kerja sekolah dan itulah sebabnya keputusan saya teruk,” kongsi Sean dalam satu temu bual.
Perjalanan penurunan berat badannya menjadi titik perubahan penting dalam hidupnya, terutamanya semasa menjalani latihan ketenteraan. Ketika mula aktif di TikTok, Sean turut berkongsi rutin kesihatan dan kecergasannya sebagai sebahagian daripada kandungan yang memberi inspirasi kepada pengikutnya.
4. Sean juga berbakat bermain gitar.
Selain menghasilkan kandungan di media sosial, Sean sekali-sekala berkongsi bakatnya bermain gitar. Di Instagram, dia pernah memuat naik video memainkan lagu-lagu popular dalam versi instrumental sepenuhnya menggunakan gitar elektrik. Bakat muzik ini menambah sisi berbeza dalam personalitinya yang ramai kenali melalui kandungan komedi.
@itsseansolo Nothings Gonna Change My Love For You #seansolo #abimfinger
5. Sean tidak gemar kawasan Hongdae.
Watak “Hongdae Guy” yang dimainkannya lahir daripada rasa tidak suka terhadap kawasan tersebut. Dalam satu video TikTok yang dimuat naik pada tahun 2023, Sean berkongsi pengalaman buruknya di salah sebuah kelab malam di Hongdae, sehingga dia melabel kawasan itu sebagai “Tempat Syaitan.”
Watak Hongdae Guy merupakan satu bentuk ejekan atau perli terhadap sesetengah lelaki Korea yang terlalu berani ketika cuba mendekati wanita asing. “Lelaki-lelaki ini fikir perempuan Amerika ‘open-minded,’ tapi sebenarnya mereka sendiri yang sempit fikiran,” ujarnya ketika menjadi tetamu dalam sebuah podcast.