Meskipun masih bersedih dan trauma akan tragedi yang berlaku selepas konsertnya di Manchester baru-baru ini, kini Ariana Grande mahu kembali untuk melakukan konsert amal.
Menurut luahan hati penyanyi popular antarabangsa itu menerusi laman Instagram miliknya, dia mahu menjayakan konsert amal demi membantu mangsa letupan bom di konsert jelajahnya sebelum ini di Manchester, United Kingdom.
Dalam nota yang ditulis Ariana itu, dia turut memuji peminat-peminat fanatiknya yang bergelar ‘Arianators’. Baginya, mereka sering memberi kata-kata semangat dan mendorong antara satu sama lain di ruangan sosial media lebih-lebih lagi berhubung insiden itu.
Walaubagaimanapun, konsert amal tersebut masih belum diketahui bila dan di mana ia akan berlangsung tetapi yang pasti ia bertujuan untuk mengumpul dana sumbangan untuk mangsa yang tercedera serta buat waris keluarga mangsa yang terkorban.
Konsert jelajah Dangerous Woman Ariana itu bertukar kepada pertumpahan darah sesudah konsert tersebut tamat pabila berlakunya letupan bom yang meragut 22 nyawa berserta 119 orang yang cedera di pintu masuk ke Manchester Arena itu. Menurut laporan antarabangsa, serangan bom itu dipercayai angkara perbuatan pengebom berani mati Salman Abedi yang dikatakan pengikut ISIS.
Berikutan insiden tersebut, ke semua konsert jelajah bintang terkenal ini telah ditunda dan masih belum diketahui bila dia bakal kembali meneruskan konsert tersebut.