Sejak akhir-akhir ini sudah menjadi trend para selebriti membuka perniagaan mereka sendiri. EH! sangat kagum dengan selebriti yang mampu membuka perniagaan hasil titik peluh mereka sendiri. Kalau difikirkan balik, dunia hiburan ini ada zamannya di mana nilai seseorang selebriti itu bergantung pada untung nasib masing-masing. Tambah pula peminat hari ini semakin pandai memilih, dan mereka lebih tertarik pada bakat baru (tak semua peminat begitu ya). Membuka perniagaan sendiri adalah satu langkah bijak yang boleh dicontohi oleh selebriti yang lain.
Gambar: dnabydynas.com
DNA – Dynas Mokhtar
Label yang cukup terkenal dengan item utamanya iaitu baju menyusu ilham daripada selebriti tinggi lampai, Dynas Mokhtar. EH! merasakan Dynas sangat bijak dalam memilih pasaran untuk perniagaannya. Rekaan baju dari DNA telah memberikan kemudahan kepada para ibu yang masih menyusukan bayi tanpa perlu bersusah payah seperti zaman ibu kita dahulu.
Gambar: twitter.com/SazzyFalakCLPT
Street Fashion – Sazzy Falak
Kejayaan Sazzy Falak mengangkat nama perniagaannya yang baru beroperasi Mac tahun lalu apabila dijemput ke PLITZS New York Fashion Week sempena Minggu Fesyen New York baru-baru ini sangat membanggakan. Gaya fesyen jalanan yang diketengahkan Sazzy sangat chic. Tidak hairanlah ketika laman web pakaiannya baru dibuka, trafik hang kerana menerima jumlah pelawat melebihi had!
SimplySiti – Datuk Siti Nurhaliza
Keberanian penyanyi tersohor Malaysia ini memperjudikan nasibnya apabila menceburi bidang kecantikan. EH! perhatikan, produk SimplySiti berjaya mencuri hati penggunanya. Rata-rata pengguna setia produk ini bukan membeli kerana idola kesayangan mereka iaitu Datuk Siti, tetapi kerana kualiti produknya yang bersesuaian dengan kulit orang Malaysia membuatkan mereka terus menggunakannya.
EH! harap agar ramai lagi selebriti yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan supaya menjadi sumber inspirasi kepada yang lain.