Jelas Cheong Jun Hoong, dia masih komited untuk terus mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa namun hasratnya tidak kesampaian apabila Majlis Sukan Negara dan Persatuan Renang Malaysia tidak memperbaharui kontraknya dalam program latihan atlet sepenuh masa tahun ini.
Bekas juara dunia itu akur dengan keputusan yang dibuat sekali gus memilih untuk menamatkan kerjayanya sebagai atlet kebangsaan.
Atlet berusia 32 tahun itu memahat sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi kejuaraan dunia dalam acara terjun dengan merangkul emas 10m platform individu pada Kejohanan Dunia Budapest 2017. Sehingga kini dia kekal menjadi satu-satunya penerjun kebangsaan yang meraih gelaran dunia.