Selepas beberapa kali naik turun mahkamah, akhirnya kemenangan dan keadilan memihak kepada pasangan pelakon serta usahawan, Scha Alyahya dan Awal Ashaari.
Pasangan selebriti popular itu menerima ganti rugi berjumlah RM345,305 dalam tuntutan saman terhadap syarikat D’Haja (M) Sdn Bhd yang mana berkaitan dengan pengedaran dan penjualan produk minyak wangi eksklusif keluaran mereka iaitu Bleu dan Maroon.
Syarikat tersebut telah diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk membayar ganti rugi itu selepas mereka didapati bersalah dengan melanggar perjanjian dalam pengedaran minyak wangi tersebut.
Hakim Shamsudin Abdullah yang telah membenarkan tuntutan saman pelanggaran kontrak tersebut terhadap D’Haja sebagai defendan selepas ia difailkan oleh Awal dan Scha sebagai plaintif.
Tuntuan saman tersebut dikeluarkan selepas syarikat itu gagal memastikan 20,000 botol minyak wangi jenama keluaran pasangan itu berada dalam keadaan baik untuk dipasarkan. Disebabkan perkara itu, Awal dan isterinya Scha mengalami kerugian kos pengeluaran, pemasaran, pelancaran serta keuntungan dari minyak wangi tersebut.
Malah, syarikat itu turut gagal untuk menjaga tanggungjawab dalam menjaga reputasi Awal dan Scha sebagai client mereka. Dengan itu, mahkamah meminta defendan membayar faedah sebanyak lima peratus, ganti rugi am RM10,000 dan kos sebanyak RM5,000.
Syarikat D’Haja pada asalnya menerima 20,000 botol minyak wangi tersebut dari syarikat Eree International Sdn Bhd dalam keadaan yang baik. Namun selepas bertukar tangan, defendan gagal memastikan produk itu dalam keadaan yang baik seperti sebelum ini.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan D’Haja untuk membuat tuntutan balas ke atas Awal dan Scha selepas mereka didapati memungkiri perjanjian dengan menjual minyak wangi mereka sendiri di Brunei. Disebabkan itu, pasangan tersebut telah diperintahkan untuk membawar RM55,000 terhadap defendan.
Menurut laporan BH Online, Awal dan Scha mendakwa D’Haja bukan hanya gagal melaksanakan tanggungjawabnya berdasarkan perjanjian, malah juga gagal untuk memulangkan sejumlah 3,215 botol minyak wangi yang rosak, gagal menyerahkan rekod transaksi jualan dan tidak mahu membayar tuntutan kerugian yang dialami pasangan tersebut.
Plaintif memulakan kontrak perjanjian pengedaran minyak wangi mereka Bleu dan Maroon dengan syarikat D’Haja tersebut pada 11 Oktober 2016 sehingga 10 Oktober tahun lalu.
Sumber : BH Online