Awal Ashaari yang selamat menjalani pembedahan membuang batu dalam hempedu menasihatkan supaya sesiapa yang suka memakan makanan pedas untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.
Menerusi sekeping gambar yang dimuat naik oleh Awal di laman Instagramnya, aktor dan pengacara tv ini berkongsi perkara tentang penyakit yang dihidapinya sehinggakan terpaksa melakukan pembedahan.
“Batu ini telah dikeluarkan dari dalam hempedu saya oleh Doktor George, PCMC. Thanks Doc! Jadi sesiapa yang sakit tulang belakang, tulang rusuk dan bahagian abdomen selepas makan makanan pedas atau berminyak, tolong pergi periksa. Selalunya, bila kena serangan saya akan berpeluh satu badan, sakit yang amat sangat sampai berguling-guling. Mula-mula sakit, lama-lama akan mudarat dan dikejarkan ke hospital,” tulisnya di dalam kapsyen gambar batu hempedu tersebut berserta beberapa # mengenai penyakitnya.
Awal menjalani pembedahan membuang batu dalam hempedunya di Pusat Perubatan Prince Court pada hari Isnin lalu.