Jika sebelum ini Ayda Jebat pernah dikaitkan dengan Radin Era dan Zul Arifin, kini penyanyi lagu Nakal Nakal Nakal ini sedang hangat dikatakan berhubungan dengan Redza Rosli.
Sememangnya pasangan ini dikatakan sering memuat naik gambar intim bersama di akaun Instagram masing-masing. Redza dan Ayda sekarang ini sedang menjalani penggambaran bersama untuk drama Ku Kirim Cinta yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Menurut Ayda, ia tidak salah untuk mereka berkawan rapat memandangkan dirinya dan Redza sedang solo. Bahkan, Ayda sendiri mengaku yang Redza sebenarnya seorang lelaki yang baik dari segi keperibadiannya dan dalam masa yang sama mereka bersependapat.
“Saya tak berani nak cakap yang kami takkan bercinta langsung. Pada masa akan datang kita tak tahu apa yang akan berlaku. Cuma ketika ini tiada apa yang serius di antara kami. Saya menyenangi dan selesa berkawan dengan Redza. Kebetulan, tarikh lahir saya pada 17 Mac dan dia pula 18 Mac. Tarikh lahir kami dekat sangat dan umur pun sama, patutlah perangai sama. Mungkin sebab itu juga ketika di set kami suka bergurau. Keserasian kami itu agaknya menimbulkan salah faham,” katanya kepada mStar Online.
Namun, tidak dapat dipastikan jika keakraban dua selebriti ini merupakan satu strategi demi untuk mempromosikan drama gandingan mereka tersebut. Tetapi tiada salahnya jika Ayda dan Redza bercinta kalau masing-masing sudah bersedia untuk berganjak ke tahap seterusnya.