Biarpun telah disahkan yang dirinya bakal kehilangan deria pendengaran kekal, penyanyi terkenal Jepun Ayumi Hamasaki tetap mahu meneruskan kerjaya nyanyiannya.
Berita itu dimaklumkan sendiri oleh Ayumi menerusi blognya iaitu TeamAyu. Akuinya, pentas merupakan tempat yang paling serasi dengan dirinya dan tidak dapat membayangkan apa yang patut dirinya buat selain dari muzik.
Ayumi sebenarnya telah hilang pendengaran telinga kirinya sejak tahun 2008. Tetapi kini telinga kanannya pula mula lemah. Dia turut memaklumkan yang mana dia pernah kerap berasa mual dan muntah-muntah serta hilang kestabilan tubuh ketika sebelum membuat persembahan di konsert jelajahnya tahun ini.
“Saya akan terus membuat persembahan dan mendengar walaupun pada hakikatnya saya tidak lagi boleh mendengar. Saya tetap akan berusaha untuk mencari jalan dan akan terus ke hadapan. Saya tidak mahu menagih simpati ataupun perasaan kesian terhadap kejadian yang menimpa diri saya. Apa yang pasti saya tetap akan teruskan menyanyi sehingga nafas yang terakhir,” luahnya di dalam blog.
Jelasnya lagi yang mana dia mendapat tahu bahawa telinga kanannya semakin lemah adalah selepas dia membuat pemeriksaan lanjut. Dia turut mempersoalkan bagaimana dia harus berdepan dengan masalah itu sebagai seorang penyanyi. Baginya, dunianya akan gelap.
Doktor sebenarnya telah menasihatkannya supaya mengurangkan aktiviti berada di tempat-tempat yang mempunyai bunyi yang kuat, namun dia tetap tidak mahu membatalkan konsert jelajahnya.
Ayumi mula merasakan ada masalah pendengaran pada telinga kirinya sejak konsertnya pada tahun 2000.