Siapa sangka hubungan perniagaan antara Aiman Tino dan Syarah Haifa membawa ke jenjang pelamin.
Tinggal dua hari lagi sebelum Aiman Tino disatukan dengan wanita pilihan hatinya yang juga rakan kongsi perniagaan The Ogs Bake. Sudah tentu debaran kian terasa untuk memulakan tanggungjawab sebagai suami dan menjadi nakhoda keluarga. Bagaimanapun pelantun lagu Ku Rela Dibenci itu memaklumkan dia telah bersedia untuk memegang status sebagai suami pada umur 25 tahun.
Baginya, usia muda bukanlah penghalang untuk memikul amanah ini terutama apabila bapanya juga berkahwin sekitar umur sama. “Mungkin ada yang cakap awal sangat tetapi bagi saya ini usia yang tepat. Lagipun saya sudah cukup sedia untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin,” dia memberitahu Kosmo! Online.
Bapa Aiman Tino, Yusri Ishak turut yakin anak lelakinya sudah benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab besar ini. “Biasalah, setiap bakal pengantin terutama lelaki akan berdepan pelbagai perasaan menjelang hari akad nikah. Jadi itu perkara biasa yang saya katakan pada Aiman. Saya yakin Aiman sendiri pun tahu mengenai komitmen barunya ini dan mungkin sudah tiba masa ada orang jaga makan minum serta pakaiannya. Dia pun inginkan teman hidup.”