Kumpulan dari Korea, Wave to Earth, akan kembali ke Malaysia untuk mengadakan konsert mereka buat kali kedua. EH! kongsikan fakta tentang kumpulan ini.
Wave to Earth, atau lebih dikenali sebagai W2E, ialah kumpulan lelaki dari Korea Selatan yang terdiri daripada tiga anggota di bawah naungan Wavy. Impian, menenangkan, dan santai adalah antara perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan melodi yang dihasilkan oleh kumpulan K-Indie ini, yang berpusat di Seoul. Mendengarkan lagu-lagu mereka seolah-olah membawa anda ke dunia yang tenang dan mendamaikan.
Kumpulan ini memulakan perjalanan seni mereka pada tahun 2019 dengan single pertama, *”wave,”* sebelum melancarkan EP debut mereka, Wave 0.01, pada tahun 2020. Terdiri daripada tiga ahli berbakat – Daniel Kim (vokalis utama dan penulis lagu), Dong Kyu Shin (pemain dram), dan John Cha (pemain bes) – Wave to Earth dikenali dengan bunyi unik yang menggabungkan elemen lo-fi, pop indie, dan nuansa jazz. Kebanyakan lagu mereka dihasilkan dalam bahasa Inggeris, dengan lirik puitis yang menyentuh pelbagai tema seperti cinta, alam semula jadi, dan kehidupan.
Wave to Earth bukan sahaja berbakat dalam muzik, tetapi mereka juga terlibat secara langsung dalam proses penghasilan dan rakaman lagu-lagu mereka. Bakat mereka melangkaui bidang muzik dengan menjelajah ke dunia seni lain, termasuk fesyen, di mana Daniel Kim sering memainkan peranan sebagai penggaya kumpulan.
Wave to Earth akan kembali ke Malaysia pada 19 Januari 2025 menerusi jelajah Asia Play With Earth 0.03 World Tour. Kepulangan ini disambut meriah oleh para peminat selepas kejayaan konsert debut mereka sebelum ini, menjadikan kemunculan semula ini antara yang paling dinantikan.