Kontroversi yang mengaitkan filem keluaran Walt Disney iaitu Beauty and the Beast yang dikatakan mempunyai babak elemen gay akhirnya berakhir pabila filem yang dinantikan ramai itu menerima kelulusan untuk tayangan di Malaysia tanpa sebarang suntingan.
Filem berunsur muzikal dan fantasi itu merupakan sebuah filem yang dicipta semula mengikut filem animasi yang lama. Namun filem tersebut dikatakan ditayangkan di bawah klasifikasi PG13.
“Sukacita kami ingin mengumumkan filem Beauty and The Beast diluluskan untuk tayangan di Malaysia tanpa sebarang potongan, di bawah klasifikasi PG13. Datanglah menonton pada tayangannya bermula 30 Mac ini. Kami menghargai sokongan yang diberikan,” kata Pegawai Pemasaran Studio Entertainment, The Walt Disney Company (Malaysia) Sdn. Bhd, Szujane Ng dalam satu kenyataan .
Filem tersebut mula menjadi kontroversi pabila pengarah filem itu, Bill Condon memaklumkan di dalam sebuah majalah antarabangsa bahawa watak Le Fou yang dilakonkan oleh Josh Gad adalah seorang lelaki homoseksual.
Disebabkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Bill Condon itu, beberapa rangkaian pawagam termasuklah Rusia yang mengugut untuk menapis atau mengharamkan terus filem tersebut di negara mereka. Bahkan sebuah pawagam di Alabama, Amerika Syarikat turut mengharamkan tayangan filem tersebut.
Berikutan insiden tersebut, Malaysia turut menangguhkan tayangan filem itu. Menurut Lembaga Penapisan Filem (LPF), filem tersebut mendapat kebenaran untuk ditayangkan pabila mereka membuat sedikit suntingan serta menklasifikasikannya PG13.
Namun, pihak Walt Disney kemudiannya menyatakan yang mana mereka lebih rela jika filem tersebut tidak ditayangkan di negara-negara yang memotong babak berkenaan. Filem fantasi ini membawakan Emma Watson sebagai Belle, Dan Stevens sebagai beast dan Luke Evans sebagai Gaston.