Mempertaruhkan ‘Tudung Periuk’ sebagai pembuka selera, Dayang Nurfaizah sajikan Belagu, sebuah album klasik yang mewah jiwanya.
“You mean this was all recorded LIVE???! It sounded PERFECT!!!! Another timeless masterpiece!”
“Aubrey suwito, Fly, Mohar, Jamie. Damn, even her musician is classy. Hail the queen”
“Who would have known this is a live recording?! Its just flawless! Jujurnya saya bukan peminat lagu irama klasik, but with these fresh renditions, saya menjadi tertarik utk mendengar lebih lagi dr album dayang kali ni, looking forward to the next live performance from the album! “
Itu antara sebahagian komen yang ditinggalkan penggemar muzik yang menonton video muzik Tudung Periuk di YouTube yang dilancarkan Jumaat lalu. Rata-rata yang mendengar memberikan komen positif dan ini pastinya satu perkhabaran yang paling membahagiakan buat Dayang Nurfaizah.
Mesra disapa Dayang, menurutnya ini antara impian yang disimpan sejak sekian lama. Selepas menghasilkan album Kasih 15 tahun dulu, dia amat bersyukur apabila pintu untuk mengilhamkan album klasik seperti Belagu dibuka lagi. Dayang menganggap album sebegini adalah satu projek yang cukup istimewa, jadi dia memberi sepenuh kudratnya demi memastikan naskhah yang dialunkan memberi nikmat hiburan yang berbaloi dinantikan oleh peminatnya. “Album sebegini Dayang anggap sebagai satu projek khas, jadi bila projek khas, Dayang tak kisah jika ia mengambil masa yang panjang,” luahnya saat ditemubual oleh EH!
“Apa yang Dayang suka tentang lagu-lagu klasik Melayu adalah pada melodi juga bahasanya yang cukup indah. Lirik-lirik lagu lama sangat cantik, ia adalah terjemahan juga gambaran bagaimana orang kita dulu berbahasa, penuh dengan santun dan kiasannya, sarat dengan kelembutan.”
“Lirik lagu hari ini berbeza dengan lagu dulu, tapi Dayang bukan mengatakan ia sesuatu yang salah, cuma Dayang mahu generasi hari ini mendalami dan memahami cara orang kita dahulu berbahasa. Seperti Dayang sendiri, Dayang ambil masa untuk memahami mesej yang mahu disampaikan, sebab sebagai penyanyi kita mesti mendalami erti tersirat pada setiap baris lirik yang kita lagukan.”
Saya menganggap saya cukup bertuah apabila diberi peluang untuk menyelusuri pengalaman Dayang merakamkan album ini. Prosesnya sudah bermula sejak awal 2020 lagi, di saat kita ‘terkurung’ di rumah ketika PKP yang pertama, terkurungnya Dayang penuh dengan isi. Ketika itulah Dayang dan Aubrey menggali mencari lagu yang sesuai, menyusun semula nota-nota muzik agar gubahan yang baru ini segar dan sedap didengar, paling penting tidak juga mengikis keaslian melodi asal. Sesi latihan bersama pemuzik juga perancangan untuk konsep video muzik termasuklah muka depan album sudah bermuda sejak September tahun lalu.
Dalam lapan lagu yang terhidang di dalam album ini, trak yang mendakap erat jiwa saya ialah Kenang Daku Dalam Doamu. Lagu nyanyian asal M Bakri dan perdah dirakam semula oleh Allahyaham tan Sri S.M Salim itu dialunkan secukup rasa, tidak terlebih tidak terkurang, emosi dan rasanya sampai. Tidak jemu diulang-ulang.
Belagu dibarisi lapan buah lagu klasik yang dirakamkan semula secara live Oleh Dayang bersama iringan pemuzik-pemuzik hebat yang ditunjangi oleh Aubrey Suwito. Rakaman lagu-lagu ini dilangsungkan selama dua hari berturut-turut di Visual Three, Seri Kembangan. Melihat proses rakaman ternyata bukan mudah kerana nyanyian dan penggambaran video muzik dijalankan serentak, jadi semuanya perlu dirancang dengan teliti dan dilaksanakan dengan sempurna. Pasukan imej Dayang untuk album ini terdiri dari Khir Khalid (jurusolek), Juno Ko (pendandan rambut), dan helaian yang digayakan oleh Dayang seperti biasa dari label Rizalman yang direka oleh Faizul dan aksesori Suhara Jewels.. Ikuti tembual eksklusif EH! bersama penerima tiga trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ini.
Dari mana datangnya ilham menamakan album ini ‘Belagu’?
‘Belagu’ itu adalah bahasa Melayu Sarawak yang membawa maksud menyanyi. Bagi Dayang perkataan ‘Belagu’ ini ringkas dan sudah cukup menerangkan maksudnya.
Apa bezanya album ‘Kasih’ dengan yang baru ini?
Album ‘Kasih’ bagi Dayang Adalah sebuah eksperimen pada vokal dan susunan muziknya, cukup berbeza dengan ‘Belagu’ yang mana untuk album ini Dayang memberi intrepretasi Dayang sendiri dalam menyuntik kesegaran pada lagu klasik lama.
Susunan muziknya tidak lari jauh dari melodi asal, cuma Dayang cuba tambah perasa Dayang sendiri pada tiap lagu. Dayang cuba menyatukan lagu-lagu Melayu klasik dengan diri Dayang tanpa membuat perubahan drastik.
Boleh ceritakan secara ringkas tentang pemilihan lagu-lagu untuk album ini?
Jika diikutkan banyak lagi lagu yang mahu Dayang rakamkan. Dayang banyak berbincang dengan Aubrey dalam hal ini. Lagu-lagu yang Dayang suka tak semestinya sesuai dengan vokal Dayang.
Apakah lagu yang paling mencabar?
Bagi Dayang, ‘Kenang Daku Dalam Doamu’ dan ‘Dikirim Jangan, Dipesan Jangan’ cukup mencabar, kerana lagu-lagu ini penyampaiannya perlu disempurnakan dengan kelembutan. ‘Tudung Periuk’ juga tidak mudah kerana liriknya sebaris dua dan berulang-ulang jadi Dayang perlu cabar diri Dayang untuk memberi dinamik pada penyampaian Dayang.
Apakah pula lagu kesukaan Dayang di dalam album ini?
Jika ikutkan Dayang suka kesemuanya, setiap satu mempunyai keistimewan tersendiri. ‘Gurindam Jiwa’ adalah perkenalan sulung Dayang kepada lagu-lagu Melayu klasik. Walaupun Dayang sudah berulang kali menyanyikan lagu ini tapi Dayang belum pernah berpeluang merakamkannya. Ini juga antara lagu kegemaran emak Dayang, dan Dayang anggap ini satu hadiah untuk dia. Jadi, bila peluang merakamkan album klasik ini datang, ia wajib ada dalam senarai.
Mengapa memilih Aubrey Suwito sebagai penerbit album ini?
Dayang sudah banyak kali bekerjasama dengan Aubrey sebelum ini, sejak album kedua lagi. Beberapa tahun lalu Dayang ada mempersembahkan lagu ‘Tudung Periuk’ di majlis penutup Sukan SEA dan pada waktu itu Aubrey adalah pengarah muziknya. Dari situ tercetus idea untuk memilih Aubrey sebagai penerbit album ini, dan Dayang percaya Dayang tak memilih salah orang. Dayang cukup berpuas hati dan gembira dengan kerjasama ini.
Artikel Berkaitan: #EHklusif, Gambar Belakang Tabir Persiapan Dayang Nurfaizah di AJL 31
Mengapa masih memilih Hael Husaini?
Dia antara rakan duet yang serasi dan paling penting senang dalam memberi kerjasama. Bagi Dayang, ‘Gurindam Jiwa’ terlalu romantik untuk Dayang sampaikan secara solo, jadi Dayang membuat keputusan untuk mengundang Hael. Dan dia sendiri dengan sukarela mahu belajar kerana lagu ini adalah luar dari forte dirinya. Kita sama-sama belajar untuk harmonikan cara penyampaian lagu ini.
Hael juga Dayang anggap sebagai penyanyi yang cukup popular di kalangan generasi baru, jadi secara tidak langsung dia akan menarik minat kelompok pendengar muda untuk sama-sama mendengar dan menghayati lagu-lagu klasik kita.
Apakah pengalaman menarik sepanjang proses menyiapkan album ini?
Paling menarik tentunya rakaman album ini sendiri. Dayang mahu merasa sendiri bagaimana merakamkan lagu dengan mainan muzik secara live. Ibaratnya Dayang bawa studio rakamn ke luar. Jika di studio rakaman, selalunya produser akan suruh kita menyanyi beberapa bahagian berulang-ulang hingga semua berpuas hati. Dayang tak mahukan cara itu untuk album ini. Dayang mahu mood lagu yang Dayang persembahkan mengalir bagaikan air agar emosi penyampaian itu sampai kepada yang mendengar. Dayang cuba hidupkan semula cara orang-orang dulu merakamkan lagu, gunakan muzik secara live.
Lagi satu, proses Dayang mempersiapkan vokal Dayang untuk merakamkan lagu-lagu di dalam album ini juga satu pengalaman menarik untuk Dayang secara peribadi. Dayang sendiri bukanlah penyanyi lagu asli, jadi Dayang ambil masa untuk memahirkan dan memesrakan vokal Dayang dengan lenggok lagu-lagu asli. Walaupun nyanyian Dayang tidak seperti nyanyian asal tapi sebolehnya Dayang tak mahu hilangkan terus keaslian lagu-lagu ini.”
“Dayang ambil masa belajar dengan Bob, dia lebih mahir dalam menyanyikan lagu-lagu sebegini. Jika Dayang duduk seorang saja memang tidak ke mana.”
Tiga perkataan mendefiniskan album ini?
Classy, rich and beautiful.
Apakah harapan Dayang kepada ‘Belagu’?
Dayang berharap semua peminat Dayang akan menghargai album ini dan menerima mesej yang mahu Dayang sampaikan. Dayang mahu semua pendengar khususnya generasi muda mengenali lantas menghargai khazanah lagu-lagu Melayu klasik kita. Jika kita sendiri tidak mengangkat warisan ini, lambat-laun ia akan berkubur begitu sahaja. Dayang anggap penghasilan album ini bukan sahaja satu penghargaan kepada orang-orang lama tapi juga sebagai satu tanggungjawab sebagai anak seni.
Artikel Berkaitan: Datuk Rizalman Ibrahim Umum Bersara
LIHAT FOTO BELAKANG TABIR PENGHASILAN BELAGU