Lensa kamera bukan sesuatu yang asing bagi Bella Dowanna Halim, kerana sedari kecil lagi dia sudah terbiasa mendengar jerita three, two, one action. Bermula dari iklan komersial kemudian berpindah ke set drama, Bella terus memekarkan tiap kelopak, umpama kuntuman yang semakin kembang mewangi di industri seni tanah air.
Bella Dowanna Halim, personalitinya girang menyenangkan. Saya masih ingat lagi di awal-awal perkenalan saat dia terpilih sebagai lima calon akhir bagi kategori Artis Baru pilihan di Anugerah Stail EH! 2022. Dan dari saat perjumpaan sulung itu juga sudah beberapa kali EH! menyuntingnya untuk penggambaran. Bertemu di pelbagai acara juga semakin kerap. ‘Sebenarnya Saya Isteri Dia’, ‘Cemburu Seorang perempuan’, ‘Budak Tebing’ antara naskhah yang berjaya menyerlahkan bakat yang dimiliki gadis yang lahir pada 17 Mei 2003 ini.
Boleh kongsikan bagaimana anda mendapat peluang untuk menjadi pelakon?
Saya bermula dengan iklan komersial seawal berumur enam tahun. Jadi saya memang sudah biasa berada di set. Dari iklan saya mendapat tawaran berlakon. Pertama kali saya muncul di televisyen menerusi telefilem ‘Begitulah Sayang’, yang mana ketika itu saya berusia sembilan tahun. Bayangkan pada waktu itu saya sudah mendapat watak yang agak berat untuk seorang kanak-kanak, saya berlakon sama dengan Zamarul hisham dan Norish Karman. Dari pengalaman sulung itu mencambah minat untuk terus berlakon.
Boleh Bella ceritkan sedikit pengalaman anda berada di set penggambaran buat kali pertama?
Susah nak ingat balik kerana pengalaman pertama itu saya masih muda, sembilan tahun. Jadi tak banyak yang saya ingat kecuali yang saya ingat Papa saya selalu ada di set menemani saya. Bila ada parents di set jadi saya tak berapa takut. Hendak kata awkward tidak juga kerana tidak banyak beza dengan komersial, yang bezanya mungkin saya perlu menghafal skrip, bermain emosi. Berbanding dengan iklan selalunya saya selalu diminta untuk happy happy saja.
Bagi Bella cabaran besar seseorang pelakon selain untuk menghidupkan watak yang dibawa?
Mendapat chemistry dengan partner lakonan juga satu cabang cabaran yang lain. Jika tiada chemistry atau mereka tak memberi tak jadi juga, kita rasa macam berlakon seorang-sorang. Kalau ikut kebolehan mungkin you boleh berlakon power power tapi ia takkan jadi jika partner kita tak sama-sama go. Kita boleh letak sebanyak mana usaha, buat kajian, cari reference tapi ia takkan ke mana-mana kalau kita tak dapat energi yang sama dari partner kita.
Siapa idola Bella dalam dunia lakonan?
Nabila Huda! Saya dapat peluang berlakon dengannya ketika saya berada di tingkatan tiga untuk filem ‘Mama’. Dan itu juga sebenarnya adalah filem debut saya. Itu antara watak paling berat dalam kerjaya saya dan saya boleh rasakan impaknya dalam diri saya sampai sekarang. Saya juga mengagumi lain seperti Amirul Affandi dan Bront Palarae, mereka antara legenda yang saya hormati dan segani. Harapnya saya diberi peluang bekerja dalam satu set yang sama dengan mereka suatu hari nanti.
Siapakah pelakon seangkatan tidak kiralelaki atau perempuan, yang Bella rasakan punya potensi besar?
Untuk pelakon perempuan and not being bias, saya boleh katakan Qassrina Karim punya bakat yang sangat besar. Dia boleh pull off apa saja watak walaupun secara luarannya dia nampak lembut. Sebagai seorang kawan saya juga nampak dia seorang yang sangat passionate. Sama ada saya as a friend atau tidak. Saya tetap lihat dia sebagai seorang yang sangat berbakat. Dia punya tarikan yang buat orang hendak menonton lakonannya.
Bagi lelaki pula saya fikir Hun Haqeem. Saya lihat dia dah pergi jauh pun sekarang. Dia seorang yang ambil berat tentang kraf dia. Bila bekerja kita memang tak boleh kacau dia. Kedua-duanya tahu apa yang mereka buat dan saya bangga sebagai sahabat mereka berdua.
Selain bakat, adakah populariti itu penting untuk menjadi seorang pelakon yang berjaya?
Sejujurnya bagi saya populariti itu agak penting di zaman sekarang. Dalam situasi sekarang sehebat mana pun kita berlakon tapi jika orang tak kenal memang sukar untuk kita dapat tawaran, itu apa yang saya lihat sekarang. Saya ada teman-teman pelakon yang hebat tetapi tidak punya nama yang besar, peluang berlakon pun kurang.
Saya rasa populariti agak penting untuk kerjaya sebagai pelakon tetapi kita tak boleh harapkan populariti semata kerana takut ramai yang jadikan kerjaya sebagai pelakon sebagai sumber mendapat duit dan menjadi terkenal semata.
Apa pendapat anda bila orang sudah skeptikal dengan corak drama Melayu; anak orang kaya, kahwin dengan orang miskin dan sebagainya? Apa caranya untuk merubah persepsi ini?
Alamak susahlah soalan ini. Honestly memang banyak drama Melayu skeptikal, yang seakan ada templat. Isu ini sebenarnya boleh diatasi dengan membuka banyak peluang kepada penulis skrip yang punya idea yang lebih luas, yang fresh. bagus, yang lagi luas ideanya. Ia melibatkan kepercayaan dan kerjasama ramai pihak. Jika kita ada penulis skrip yang bagus sekalipun tetapi tidak ada penerbit atau stesen televisyen nak ambil skrip mereka, tak berhasil juga. Jadi ia melibatkan kerjasama ramai pihak untuk menerbitksan sesuatu yang baru.
Banyakkan cerita coming-of-age untuk kelompok muda juga menarik kerana jika kita lihat ‘Tentang Bulan’ masih ada yang memperkatakannya. Perbanyakan penulis skrip coming-of-age, cerita yang berdasarkan kisah benar, cerita yang logik dan boleh juga fantasi. Jika kita lihat di Indonesia, pelakon yang berusia 30-an juga masih boleh memeran watak pelajar jika kena jalan ceritanya.
Apakah impian lain anda selain menjadi seorang pelakon yang berjaya?
Fun fact, saya menyimpan cita-cita hendak menjadi juruterbang. Dan saya masih menantikan sampai ke hari ini untuk merealisasikan impian ini. Mungkin buat masa ini saya perlu bekerja keras, mengumpul duit untuk menjadi cita-cita menjadi pilot ini satu kenyataan. Saya suka tengok uniform mereka, peluang untuk travel dan bezanya bila menjadi pilot, kita sendiri yang bawa kapal terbang untuk travel. Lagi satu saya bercita-cita nak menjadi concert organizer. Saya memang suka pergi konsert dan saya sedang belajar sikit-sikit bagaimana untuk jadi seorang penganjur konsert.
Apakah nasihat terbaik yang pernah diberikan kepada anda, dan bagaimana atau sejauh mana anda mengaplikasi nasihat tersebut dalam kehidupan anda sendiri?
Saya banyak terima nasihat tapi satu ini yang meninggalkan kesan dan saya ingat ialah dari Kak Nabila Huda. Nasihat ini dia sampaikan melalui satu posting di Instagram. Dia post gambar saya dan dia tulis kalau kita nak jadi pelakon jangan berlakon kerana nak popular, bukan sebab nak emnang anugerah atau sebab nak jadi kaya. Tapi berlakonlah kerana kita ada bakat. Dia nampak bakat saya sejak saya kecil lagi dan dia nampak saya boleh pergi jauh dan benda itu yang buat saya keep going sampai sekarang. Dia nampak saya boleh bawa watak yang heavy dan saya sendiri memang sukakan watak yang berat. Jika ada saja tawaran watak heavy, saya akan terima. Saya berlakon bukan kerana mengejar sesuatu sebagai balasan. Saya buat kerana minat.
Apa falsafah hidup Bella?
Saya selalu ingatkan diri saya bahawa seorang itu sama, kita tak berbeza, yang berlainan mungkin hanya jantina. Jadi kita kena treat semua orang sama, melayan orang dengan baik. Dan bila bekerja perlu ikhlas dan lakukan semua benda dari hati.
Apa yang ingin anda capai sebelum usia menjengah 30 tahun?
Banyak yang ingin dicapai, saya mahu menang anugerah di Festival Filem Malaysia, saya mahu jadi film star, menjadu duta global untuk jenama, mahu travel the world, mungkin pada usia 30 tahun separuh dunia sudah saya jelajahi. Saya bercita-cita mahu belikan rumah lagi untuk mama dan papa, dan saya nak miliki kereta idaman saya, Jeep Wrangler. Mungkin saya dah anjurkan konsert dan siapa tahu mungkin tercapai cita-cita saya nak jadi pilot.