Tidak sampai setahun menjalin hubungan, pasangan ini mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.
Menurut sumber, perpisahan Ben Affleck dan Ana De Armas dilakukan melalui panggilan telefon. Mereka telah berbincang dari hati ke hati mengenai masa depan dan memutuskan perpisahan adalah jalan terbaik.
Pasangan ini bertemu sewaktu menjalani penggambaran filem Deep Water awal tahun lalu. Mereka dilaporkan bercinta pada Mac 2020 setelah dirakam bercuti bersama di negara kelahiran Ana, Cuba. Ben dan Ana kemudian terbang ke Costa Rica untuk percutian romantis sebelum pulang ke Los Angeles.
Pelakon The Knives Out itu mengumumkan percintaan ini di Instagram dengan memuat naik foto mereka meluangkan masa berdua pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-32.
Jun tahun lalu, Ana turut meluangkan masa bercuti bersama Ben, tiga anaknya dan ibu Ben, Christine ke Georgia dan mereka dilihat gembira bersama. “Ana suka bergaul dengan anak-anak Ben. Semua orang bergaul dengan baik. Ana dilihat berusaha untuk mengambil hati mereka,” menurut satu lagi sumber.
Ben dan Ana juga tinggal sebumbung sejak musim panas lalu. Pada Ogos 2020, Ana dirakam memindahkan barang peribadi dari kediamannya di California ke kediaman Ben di Los Angeles. Malah, dia dikatakan turut menjual kediamannya dan sangat teruja untuk hidup bersama Ben. Nampaknya, impian Ana tidak kesampaian.
Satu sumber memberitahu, keputusan ini dibuat bersama dan tidak dapat dielakkan. “Walaupun saling menyintai, mereka mempunyai hala tuju yang berbeza dalam hidup.”
Namun, ada khabar angin mengatakan punca perpisahan tersebut adalah kerana Ana tidak mahu menetap di Los Angeles. Ben pula tidak boleh berpindah ke tempat lain memandangkan anak-anaknya tinggal di Los Angeles.
Ben mempunyai tiga cahaya mata, Violet Anne, Seraphina Rose Elizabeth dan Samuel Garner hasil perkahwinannya dengan pelakon, Jennifer Garner selama 13 tahun. Pasangan ini bercerai pada 2018 setelah tiga tahun tinggal berasingan.
Foto: Broadimage/Shutterstock/USmagazine