Sebuah video yang menunjukkan Datuk Aaron Aziz berdiri sepentas dengan Chris Hemsworth tular, sekali gus mengujakan peminat.
Dalam video tersebut, Aaron Aziz dilihat berjabat tangan dengan pengarah Sam Hargrave sebelum menyambut salam yang dihulur Chris Hemsworth. Turut kelihatan bersama mereka adalah aktor The Assistant, Iedil Putra. Chris Hemsworth berada di Manila, Filipina untuk mempromosikan sekuel filem Extraction lakonannya.
“Alhamdulillah kerana diberi peluang untuk berada di Manila. Allah sebaik-baik perancang. Babak pertarungan gempak gila! Seratus kali lebih baik berbanding Fast X. Anda semua kena tonton,” tulis Aaron Aziz di Instagram. Dia turut menyertakan tanda pagar #TylerRakeLives dan #Extraction2PH.
Melihatkan penampilan Aaron Aziz dan Iedil Putra di atas pentas, ramai tersalah anggap bahawa mereka turut terlibat dalam filem terbaru lakonan Chris Hemsworth itu. “Wah, dia berlakon di samping Thor (Chris Hemsworth)? Ini sangat mengagumkan,” tulis seorang netizen. Seorang lagi peminat menambah, “Saya pasti akan menonton filem ini nanti. Artis kita berlakon dalam filem Hollywood.”
Difahamkan Aaron Aziz dan Iedil Putra menerima jemputan eksklusif untuk memeriahkan malam Gala Filem Extraction 2 yang berlangsung di sebuah pusat membeli-belah di Manila. Beberapa lagi aktor tersohor Asia turut dijemput ke tayangan perdana filem terbaru Netflix itu termasuk Derek Ramsay, Ananda Everingham dan Nawat Kulrattanarak.