Lima tahun menjalin hubungan cinta jarak jauh, Johan As’ari mengesahkan dia bakal menjejakkan kaki ke jenjang pelamin.
Menurut aktor Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu, wanita yang berjaya menawan hatinya adalah pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Sains Politik dari sebuah universiti di London. Bakal isteri Johan As’ari yang dikenali sebagai ‘N’ itu kini bergelar usahawan mangga Harumanis di Perlis.
Pada usia 37 tahun, Johan As’ari mengharapkan impiannya untuk berumah tangga akan menjadi kenyataan. Pelakon yang dikenali menerusi Juvana itu memaklumkan dia sememangnya meletakkan sasaran untuk bergelar suami tahun ini. Walaupun belum menetapkan tarikh, dia dan teman wanita kini sedang sibuk merancang dan membuat persiapan untuk hari bahagia mereka.
“Kini persiapan perkahwinan hampir 90 peratus siap. Pilihan hati pun sudah ada. Cuma, belum menetapkan sebarang tarikh saja. Masih tidak diputuskan lagi dan saya akan hebahkan kalau jadi nanti. Apapun, perbincangan dengan orang-orang tertentu juga sudah dibuat. Yang nak taja baju kahwin pun dah ada. Jadi, kiranya memang sudah semakin nampak ke arah itu,” katanya, menurut laporan Harian Metro.