Saya mula mengenali rapat Izara Aishah sejak tahun 2012 lagi. Pada waktu itu kami merakam wajahnya untuk muka depan edisi April 2012. Namanya sedang hangat dengan siri Vanila Coklat, gandingannya bersama aktor Aiman Hakim. Dari Vanila Coklat, nama Izara terus mekar sebagai salah seorang pelakon generasi baharu yang berpotensi untuk mewarnai laman seni tanah air. Hari ini biarpun tidak lagi aktif seperti dulu, namun dari pengamatan saya, dia masih punya pengaruh tersendiri. Koleksi kolaborasi fesyennya mendapat sambutan, perniagaan tuala wanitanya juga mendapat respon yang baik. Saya berbual telefon hampir satu jam tempoh hari, berbicara dengannya tentang keluarga, jenama fesyen dan impian hidupnya.
Sejak memperlahankan aktiviti seni, bagaimana rutin harian Izara?
Dahulu rutinnya Icha hanya fokus menjaga anak memandangkan Icha sendiri tak ada pembantu rumah, jadi semuanya dibuat sendiri. Jika dulu sibuk dengan baby dan Enya (jenama tuala wanita yang diusahakannya), hari ini kesibukan itu bertambah sebab jenama pakaian IZARA bakal dilancarkan. Jadi agak sibuk untuk menguruskan semuanya dalam satu masa.
Boleh ceritakan sedikit tentang Enya? Bagaimana menguruskan perniagaan sewaktu PKP dulu?
Kita perkenalkan Enya tiga tahun dulu dan sambutannya sangat bagus. Icha sendiri happy bila produk yang kita jual dapat bantu ramai orang yang ada masalah kulit di bahagian sulit mereka. Pad Enya memang diperbuat menggunakan 100 peratus kain kapas. Awalnya Enya hanya dijual di 50 cawangan Watson tapi atas sambutan ditambah ke 100 outlets dan ketika ini sudah ada di 200 cawangan. Icha sangat bangga dengan Enya. Waktu PKP dulu sambutannya bagus cuma kita ada satu masalah, stok tak cukup sebab tuala wanita Enya dihasilkan di luar negara. Jadi bila hal logistik menjadi isu, stok memang tak mencukupi. It was a good problem. Dan buat masa ini bertambah lagi satu tanggungjawab, Icha ada ‘baby’ baru untuk diuruskan yakni my fashion brand, IZARA.
Apakah perkara yang Izara tidak pernah terfikir akan Izara experience bila bergelar ibu?
Masa! Komitmen untuk Icha beri kepada anak Icha tak sangka sampai kita terlupa hendak jaga diri sendiri. Kasih sayang dan perhatian kita kepada anak unlimited. Tiada perkataan yang tepat untuk gambarkan perasaan itu. Kalau tinggal sekejap susah sikit otak Icha nak jalan sebab dalam kepala teringat pada dia. Bila dah berkeluarga fokus kita berubah dan Icha sangat attach dengan anak Icha.
Bagi Icha bila terlalu rapat (attach), bagus atau tidak?
Fifty fifty. Ada pro dan kontranya. Sebagai ibu kita selalu terlupa untuk jaga diri sendiri. Kita ni kadang-kadang boleh jadi sakit jika tak jaga diri sendiri dan kadang-kadang boleh jadi depresi. Icha perasan sejak ada anak, Icha lebih matang, fikiran pun lebih jauh, tiada masa mahu layan hal remeh-temeh.
Izara agak memilih untuk kembali aktif, apakah jenis tawaran yang rasanya akan membuka pintu hati Izara untuk kembali berlakon?
Kalau filem paling yang Icha hendak sekali based on true story atau cerita keluarga yang beri pengajaran kepada Icha kurang berminat untuk terima heavy romantic sebab Icha dah pernah buat sebelum ini. Icha nak develop skil lakonan, keluar dari comfort zone. Icha okey untuk terima tawaran drama dan hanya mahu drama serius, contohnya seperti cerita Nur. Drama abang Sharul Izad biasanya berdasarkan realiti, dan paling penting juga penghasilan yang berkualiti. Icha tidak bercadang untuk berhenti berlakon tetapi tidaklah juga cita-cita Izara untuk berlakon sampai ke Hollywood. Izara masih mahu berlakon sebab ia memang minat Icha. Impian Icha dalam bidang ini cukuplah orang respect dari orang, dan respect ini bairlah datang dari kerja lakonan Icha. Icha mahu jadi seperti Sofia Jane mahupun Elie Suriaty.
Walaupun tidak aktif, tetapi Izara masih ramai pengikut. Di media sosial engagement tinggi. Icha perasan tak?
Sebelum ini memang tak perasan tapi bila ada beberapa orang cakap hal yang sama, baru terfikir. Bila Icha buat something, buat kolaborasi tudung atau baju, dan ada respon yang baik dari orang di luar sana, kiranya Icha masih relevan kan? (ketawa). Maybe orang suka sebab Icha tak ikut trend, apa yang Icha nak buat, Icha buat. Mungkin Icha terinspirasi dari Beyonce kot (ketawa lagi). Dia pun tidak aktif di media sosial, cuma bila ada sesuatu nak dilancarkan, dia akan post, dan impaknya lebih besar. Lagi satu, Icha pun bukanlah pandai nak bermain dengan media sosial ni. Masa pun tiada. Cuma Icha harap sokongan dari peminat yang Icha ada hari ini akan berterusan sampai bila-bila. Insya-Allah.
Izara jarang membuka ruang komen di media sosial sejak dulu lagi. Ada alasan tertentu mengapa memilih begitu?
Icha selalu malu nak kongsi benda ni, sebenarnya dari dulu Icha paling takut evil eye. Icha percaya pada benda itu sebab Rasulullah pun ada cakap fasal hal ini. Icha start tutup komen dari dulu, evil eye ni attract puji-pujian. Icha kurang selesa pada puji-pujian.
Izara ambil tahu tentang politik? Apa yang Icha boleh komen tentang senario politik kita hari ini?
Of course Icha ambil tahu. Hal ini sensitif, tapi Icha rasa untuk kembalikan kepercayaan orang kepada mana-mana parti politik sekalipun, orang yang bersalah, perlu dihukum. Isu rasuah dalam negara kita sudah terlalu teruk.
Di luar sana ramai yang struggle dengan kehidupan hari ini, baik dari segi kewangan malah ada yang bergelut dengan kesihatan mental. Bagaimana Izara melihat situasi orang-orang kita hari ini?
Bagi Icha hal ini agak sensitif, dan Icha memang tahu sekarang ini memang ramai orang tengah struggle nak teruskan kehidupan, jika yang berkeluarga besar tanggungjawabnya pun pastinya lebih besar. Tidak mudah.
Izara pernah ada pengalaman bergelut dengan kesihatan mental?
Icha rasa kita kena sentiasa pastikan diri kita dikelilingi orang, tidak kiralah keluarga ke, kawan-kawan ke. Icha pernah alami depresi yang terus selepas melahirkan anak. Icha tidak pernah bercerita hal ini dengan sesiapa. Kita penat, tak cukup rehat, mental tak cukup kuat, iman pun tak kuat. Tapi bila kita ingat itu anak, kita kuat semangat untuk go through it pengalaman baru ni. Orang yang depresi perlukan ada orang yang selalu dengan mereka, orang yang boleh jadi good listener dan juga cheerleader. Of course kita kena doa, kadang-kadang kita sendiri tak kuat iman boleh ambil tindakan yang bukan-bukan. You always need a friend to be with you, tak boleh sorang-sorang.
Mengapa memilih untuk melancarkan jenama fesyen sendiri?
Sebenarnya dari dulu orang tahu Icha minat fesyen. Sebelum pakai tudung, waktu selalu Icha pakai baju ketat, waktu itu memang plan nak jual spank, nak jual baju ketat-ketat. Niat dah salah, sebab itu tak jadi-jadi. Kemudian bila dah bertudung, Icha susah nak cari baju yang memenuhi cita rasa Icha. Jika ada pun harganya mahal. Jadi dari situlah Icha mula pasang pelan nak keluarkan jenama fesyen sendiri. Icha tak minat nak buat tudung, tapi baju-baju Icha ni perlukan tudung yang sesuai, jadi Icha keluarkan juga. Di belakang Icha ada orang-orang berpengalaman yang memberi sokongan seperti Appa (Datuk Rizalman Ibrahim) dan abang Rizman. Mereka beri sokongan dan dapat pula consultation free, jadi rugilah kalau Icha tak teruskan. Tapi dari segi rekaan memang Icha yang buat semua dan Icha ada team yang akan beri nasihat dan pantau.
Sejauh mana Izara mahu bawa jenama ini?
I hope it will worldwide, insya-Allah. Orang Islam ni ramai, dan sebolehnya Icha nak orang non-muslim pun pakai. Saya nak reach semua orang, tidak kisah agama, saiz badan. Icha mahu orang nampak sofistikated, eksklusif dan expensive dalam baju-baju Icha. Harganya juga Icha nak mampu milik, sama seperti mana harga jenama fast-fashion yang lain.
Apa persiapan Izara untuk menggerakkan jenama ini?
Buat permulaan jenama IZARA ini akan dijual secara online. Dan perancangan akan datang Icha mahu lancarkan apps pula. Sebelum lancarkan IZARA, Icha sudah beberapa kali buat kolaborasi dengan banyak jenama seperti Lilit dan Rizman Ruzaini. Icha suka projek kolaborasi sebab dari situ Icha berpeluang untuk belajar banyak benda. Sambutan pada koleksi kolaborasi sebelum ini sangat memberangsangkan, sold out dan harapnya Icha akan dapat sokongan dan respon yang sama bila jenama IZARA dilancarkan nanti.
Okey, akhir sekali apa impian hidup Icha?
Ada banyak impian, seperti orang lain kita semua hendak membahagiakan ahli keluarga kita. Icha mahu menjadi contoh yang baik kepada anak Icha sendiri. Dan Icha sebenarnya ada impian mahu menetap di Madinah dan kalau boleh meninggal dunia pun di sana. Impian ni memang ada dalam doa-doa Icha.