Billie Eilish jarang muncul di khalayak ramai ketika pandemik kerana sedang meluangkan masa untuk projek terbaharu, juga kerana sibuk menjaga anjing peliharaanya yang baru berusia 10 bulan, Shark.
Namun apabila dia membuat kemunculan untuk menghabiskan masa bersama abangnya di pantai Oktober lalu, Billie mencetus perbualan hangat netizen di media sosial yang tidak mahu melepaskan peluang mengkritik mahupun memuji penampilannya.
“Satu gambar saya sedang berlari dari arah kereta menuju ke pintu rumah abang saya tersebar, di mana saya memakai tank top dalam cuaca yang sangat panas. Dan netizen mula mengkritik, ‘Wah! Gemuknya Billie,’” katanya kepada Vanity Fair. “Saya menjawab, ‘Memang tubuh saya begini, anda yang tidak pernah melihatnya sebelum ini.’”
Dan dalam wawancara terbaharu bersama Vanity Fair di mana dia menjadi penghias kulit majalah edisi Mac 2021, Billie berbicara panjang lebar mengenai isu tersebut dan bagaimana ia menimbulkan kebimbangan di kalangan keluarganya.
“Saya rasa orang di sekeliling saya lebih berasa risau berbanding diri saya, kerana inilah punca saya mencederakan diri sendiri. Sejujurnya, saya memakai pakaian longgar kerana ada isu dengan bentuk tubuh,” katanya.
Namun dia gembira kritikan itu muncul sekarang, bukan tiga tahun lalu di saat dia sedang berperang dengan kebencian terhadap tubuhnya sendiri, atau lima tahun lalu ketika dia memaksa diri berlapar dan menari tanpa henti disebabkan hal ini.
Billie juga pernah mengambil pil kurus untuk menurunkan berat badan pada usia 12 tahun, namun ia tidak berhasil. Walaupun berada dalam situasi yang lebih baik sekarang ini, dia mengakui tidak mudah membaca pendapat orang lain yang tersebar di internet.
“Saya fikirkan hanya saya yang ada masalah untuk menerima tubuh sendiri, tetapi rupanya internet juga membenci tubuh saya. Hebat!”
Billie meluahkan tekanan yang dihadapi dalam satu filem pendek yang dimuat naik di YouTube selepas memulakan jelajah kembaranya Mac lalu, yang kemudiannya terpaksa dibatalkan akibat pandemik.
“Jika saya sarungkan pakaian selesa, anda katakan saya bukan wanita. Jika saya berpakaian seksi, saya wanita jalang. Walaupun tidak pernah melihat tubuh saya, anda masih menilainya dan menilai diri saya. Untuk apa? Anda membuat andaian mengenai orang lain berdasarkan saiz mereka,” kata Billie di dalam video tersebut.
Dalam satu lagi wawancara, Billie menegaskan salah satu matlamat terbesarnya adalah untuk membantu anak muda berasa selesa dengan tubuh sendiri.
“Saya suka apabila ada kanak-kanak memberitahu bahawa mereka berasa lebih selesa dengan tubuh sendiri disebabkan saya. Sekiranya saya dapat membantu, saya mahu melakukannya.”
Foto: Ian West/PA Images via Getty Images
Baca: Dakota Johnson Alami Serangan Panik Di Set Penggambaran