Pasangan ibu dan anak, Beyonce dan Blue Ivy telah dianugerahkan dengan kemenangan bersama untuk kategori Video Muzik Terbaik melalui ‘Brown Skin Girl’ di Anugerah Grammy 2021.
Blue Ivy Carter secara rasminya bergelar pemenang Anugerah Grammy. Anak kepada pasangan muzik paling berpengaruh, Beyonce dan Jay-Z itu telah dianugerahkan dengan trofi Video Muzik Terbaik melalui ‘Brown Skin Girl’, yang turut menampilkan kolaborasi bersama MC Saint Jhn dan Wizkid. Beyonce turut melakar sejarah dengan memecahkan rekod kemenangan terbanyak selepas memenangi 28 anugerah secara keseluruhan.

Blue Ivy yang baharu berusia sembilan tahun merupakan pemenang kedua termuda dalam sejarah Grammy. Pemenang termuda kekal milik Leah Peasall daripada The Peasall Sisters yang telah memenangi kategori Album Tahunan melalui ‘O Brother, Where Art Thou?’ pada usia lapan tahun. Lagu ‘Brown Skin Girl’ asalnya dihasilkan untuk runut bunyi filem ‘The Lion King: The Gift’ pada 2019, dan kemudiannya diadaptasikan ke dalam filem Beyonce ‘Black Is King’.
All hail Queen Bey!

Beyonce yang menerima nominasi terbanyak tahun ini telah melakar sejarah tersendiri. Penyanyi ‘Single Ladies’ itu telah menambah empat lagi trofi untuk edisi kali ini yang menjadikannya mempunyai 28 trofi secara keseluruhan. Kemenangannya dalam kategori Persembahan R&B Terbaik untuk ‘Black Parade’ telah meletakkanya melepasi rekod keseluruhan milik penyanyi country-bluegrass, Alison Krauss sebelum ini. Dia kini memegang rekod untuk artis wanita, dan penyanyi (lelaki dan wanita) keseluruhan.
Beyonce turut memenangi untuk kategori Lagu Rap dan Persembahan Rap bersama Megan Thee Stallion untuk lagu ’Savage Remix’, selain kategori Video Muzik Terbaik.
Foto: Getty Images
Baca lebih lanjut: Yonnyboii, Raisa, Matthaios dan SPRITE Bersatu Untuk ‘Raya and The Last Dragon’