Kembalinya BTS sebagai ikon global yang telah lama dinanti akhirnya menjadi kenyataan, sekali gus mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat di seluruh dunia.
Akhirnya penantian ARMY di seluruh dunia berbaloi! Kumpulan sensasi K-pop, BTS, secara rasmi mengumumkan maklumat terbaharu mengenai album akan datang serta perancangan jelajah dunia mereka, menandakan kemunculan semula yang paling dinanti selepas sekian lama menyepi.
Album studio kelima BTS dijadualkan menemui peminat pada 20 Mac 2026, sekali gus menjadi projek pertama mereka sebagai sebuah kumpulan penuh selepas hampir empat tahun, susulan tamatnya perkhidmatan ketenteraan wajib setiap ahli. Tarikh istimewa ini mula mencuri perhatian apabila didedahkan melalui surat tulisan tangan sempena Tahun Baharu yang dihantar khas kepada ahli kelab peminat Weverse, lengkap dengan ucapan terima kasih peribadi, tarikh “2026.03.20” serta logo baharu yang segar dan penuh simbolik.

Walaupun judul album masih dirahsiakan, projek ini digambarkan sebagai karya yang merangkum keseluruhan perjalanan BTS setakat ini, sekali gus menampilkan identiti mereka mengikut definisi sendiri. Dihasilkan pada penghujung tahun 2025, album ini bakal memuatkan 14 buah lagu yang sarat dengan luahan jujur setiap ahli, disatukan melalui perspektif peribadi yang membentuk arah muzik secara kolektif.

Dan jika itu belum cukup membuatkan jantung peminat berdegup kencang, BTS turut mengesahkan jelajah dunia bagi menyokong pelancaran album ini, satu kepulangan megah ke pentas global. Butiran penuh termasuk tarikh dan lokasi konsert akan diumumkan pada 14 Januari, jam 12 tengah malam (KST).
Baca: BTS V, RM, Jungkook Dan Jimin Tamat Khidmat Tentera Bakal Adakan World Tour?
