Tidak dinafikan, nama Jazmy Juma semakin mendapat perhatian dan mula mencuri tempat dalam kalangan pelakon lelaki generasi baharu. Bukan sekadar bergantung pada rupa dan watak hero romantik semata, Jazmy dilihat semakin berani mencabar dirinya dengan membawa karakter yang mempunyai sisi, emosi dan konflik yang berbeza. Malah, Jazmy sendiri pernah menyuarakan hasrat untuk meneroka genre yang lebih mencabar seperti psycho-thriller dan komedi, selain genre romantik dan aksi yang sering menjadi pilihannya.
Kalau anda baru mahu catch up dengan perjalanan lakonannya atau sudah lama menjadi peminat yang tidak pernah ketinggalan setiap kemunculannya di kaca TV, ini lima drama Jazmy Juma yang boleh dimasukkan dalam watchlist. Siapa tahu, selepas menonton kesemuanya, anda mungkin mula melihat Jazmy bukan sekadar sebagai hero drama, tetapi pelakon yang semakin berani keluar daripada zon selesa.
Intai Senarai Drama Lakonan Jazmy Juma;
1. Nuh & Nayla
Kalau mahu melihat antara watak yang membantu mengukuhkan nama Jazmy sebagai hero drama, Nuh & Nayla wajib berada di bahagian atas senarai. Menerusi drama ini, Jazmy membawa watak Nuh, seorang lelaki yang pada awalnya digambarkan sebagai gentleman, namun kehidupannya berubah selepas terperangkap dalam sebuah perkahwinan yang penuh konflik. Gandingan Jazmy bersama Scha Elinnea turut menjadi antara daya tarikan drama ini.

2. Hilang Dalam Rindu
Jika Nuh & Nayla memperlihatkan sisi hero romantik Jazmy, Hilang Dalam Rindu pula membawa penonton melihatnya dalam karakter yang jauh lebih misteri. Dalam drama adaptasi novel ini, Jazmy membawa watak Nadim Eijaz, suami kepada Aira Nadira lakonan Tracie Sinidol. Drama 20 episod ini mula ditayangkan pada Julai 2025 dan turut menerima perhatian penonton sehingga menjadi antara drama yang hangat diperkatakan di media sosial.

3. Kerana Cinta Itu Dusta
Membawakan watak Sufian, suami kepada Orked lakonan Emma Maembong, drama ini mengisahkan dua pasangan suami isteri yang bermula dari bawah dengan membina perniagaan bersama sebelum berjaya menjadi pasangan influencer yang dikenali ramai. Keadaan menjadi lebih rumit apabila Sufian menjalinkan hubungan sulit dengan Seri, sahabat baik isterinya sendiri lakonan Azira Shafinaz. Pengkhianatan tersebut akhirnya membawa kepada keretakan rumah tangga, perceraian serta perebutan anak, aset dan perniagaan semuanya pula menjadi perhatian umum di media sosial.

4. Yes! Captain Zul Aaryan
Daripada drama konflik rumah tangga, Jazmy kembali sebagai watak utama dalam Yes! Captain Zul Aaryan. Kali ini, dia membawakan watak Aaryan, bergandingan dengan Anna Jobling sebagai Andrea. Kisahnya mula menjadi semakin rumit apabila rahsia perkahwinan Aaryan dan Andrea berada di ambang pendedahan. Hubungan mereka kemudiannya berdepan pelbagai ujian, termasuk kemunculan semula bekas kekasih Aaryan yang mula mengganggu ketenangan rumah tangga mereka.

5. Marry Me Senorita
Sebelum nama Jazmy semakin kukuh menerusi watak-watak utama, antara drama yang menampilkan lakonan awalnya ialah Marry Me Senorita. Dalam drama ini, Jazmy membawa watak Zamir, seorang pakar nutrisi yang bekerja dengan Isa Alejandro, seorang pemain tenis. Walaupun bukan watak utama, drama ini menarik untuk ditonton semula oleh peminat yang mahu melihat early days Jazmy dalam industri lakonan. Lebih menarik, drama ini turut menghimpunkan beberapa nama yang kini semakin dikenali, termasuk Meerqeen dan pelakon daripada pencarian Hero Remaja serta Dewi Remaja.

Artikel Berkaitan: Kenali Farah Athirah Rozman, Isteri Kepada Pelakon Jazmy Juma
