Ia seakan satu penghormatan bagi kumpulan K-pop terkemuka dunia, BTS untuk tampil di Grammy Awards 2019 dengan sut lengkap rekaan pereka fesyen dari Korea.
Tujuh ahli kumpulan BTS yang kini mempunyai peminat di serata dunia ini boleh dikatakan turut menjadi perhatian rumah fesyen global impian ramai. Pabila berita akan kumpulan K-pop ini bakal menghadiri acara Grammys, persoalan siapakah pereka fesyen yang bakal menjadi pilihan mereka.
Adakah Dior by Kim Jones yang mana sebelum ini BTS pernah bertemu ketika di Los Angeles? Atau mungkin Gucci atau Saint Laurent yang pernah mereka bergandingan sebelum ini?
Tidak dinafikan yang banyak rumah fesyen dunia yang ingin cuba menggayakan kumpulan K-pop kegemaran ramai ini. Hari yang dinanti telah pun tiba, dan kumpulan BTS tiba di acara karpet merah Grammys dengan tuksedo potongan kemas dan rapi. Sekali pandang ia seakan satu pilihan paling ketara, tuksedo hitam yang menjadi epitome klasik gaya Amerika.
Namun, BTS memesong stereotaip tersebut dengan satu jawapan iaitu menampilkan rekaan dua pereka agung Korea Selatan. JayBaek Couture menggayakan V, Jungkook, Jin, Jimin, Suga dan RM sementara J-Hope hadir dengan rekaan Kim Seo Ryong, yang mana label fesyen yang telah lama bertapak di Seoul Fashion Week.
Dikatakan permintaan rekaan sut kustom di Korea Selatan kian mengukuh disebabkan negara itu kini menjadi tunggak industri hiburan dunia yang mana rata-rata bintang ternama dari negara itu memerlukannya untuk acara-acara atau parti yang memerlukan fesyen bermain di mata.
JayBaek Couture dikatakan sering menggayakan aktor seperti Hyun Bin untuk tayangan perdana filem serta bintang K-pop seperti BTS dan GOT7 untuk acara-acara penganugerahan.
Jika dilihat, ia adalah satu momen yang agak jarang kita lihat pabila pereka fesyen tempatan menjadi pilihan bintang ternama seperti ini untuk hadir di majlis antarabangsa, apatah lagi yang berskala besar seperti Grammys. Ini kerana biasanya jenama besar dengan pengiktirafan yang menjadi keutamaan ramai di dunia barat. Biarpun begitu, Jungkook, Jimin, Jin, J-Hope, Suga, RM dan V kelihatan cukup bergaya pada malam itu, dengan V yang turut mewarna rambutnya menjadi rona hijau mint pucat untuk acara itu.
Dengan membuat pilihan penuh hormat ini, BTS menggunakan platform tersebut untuk bersinar dengan rekaan pereka fesyen tanah airnya sendiri. Ia dianggap satu gerakan hebat dan sangat mulia. Senang kata, tidak kira fesyen atau muzik, bakat boleh hadir tidak kira di mana jua.