Sorotan utama daripada persembahan FIFA Piala Dunia 2026 di Estadio Ciudad de México.
Penantian empat tahun akhirnya berakhir apabila tirai Piala Dunia FIFA 2026 rasmi di Mexico City pada 11 Jun semalam.
Sebagai negara tuan rumah bersama Amerika Syarikat dan Kanada, Mexico diberi penghormatan memulakan kejohanan terbesar bola sepak dunia menerusi sebuah majlis pembukaan yang penuh warna-warni, muzik dan semangat perpaduan global.

Bertempat di Stadium Azteca yang ikonik, ribuan penyokong dari seluruh dunia membanjiri venue bersejarah itu untuk menyaksikan gabungan unik budaya Mexico, muzik Latin dan persembahan bintang antarabangsa.
Momen FIFA Piala Dunia 2026:

Shakira kembali menjadi ratu piala dunia
Jika ada seorang selebriti yang sinonim dengan Piala Dunia, nama itu pastinya Shakira! Selepas fenomena “Waka Waka” pada Piala Dunia 2010, penyanyi Colombia itu kembali memeriahkan kejohanan kali ini menerusi lagu rasmi Piala Dunia 2026 berjudul “Dai Dai” bersama Burna Boy. Persembahan mereka menjadi acara kemuncak majlis pembukaan dan menerima sorakan gemuruh daripada lebih 80,000 penonton di stadium.

Burna Boy bawa sentuhan Afrika ke pentas dunia
Penyanyi Nigeria itu tampil penuh karisma ketika mempersembahkan “Dai Dai” bersama Shakira, sekali gus membawa elemen Afrobeats ke pentas global yang ditonton berbilion penonton di seluruh dunia.

J Balvin hidupkan stadium dengan irama Reggaeton
Selain Shakira, seorang lagi wakil Colombia yang mencuri perhatian ialah J Balvin. Bintang reggaeton itu menghiburkan penonton menerusi medley lagu-lagu popularnya yang membuatkan seluruh stadium berdiri dan menari. Kehadirannya melengkapkan elemen muzik Latin yang menjadi identiti majlis pembukaan di Mexico City.
Bu
daya Mexico menjadi bintang utama
Walaupun dibarisi nama-nama besar antarabangsa, majlis pembukaan tetap memberi ruang besar kepada budaya tempatan. Antara artis yang membuat persembahan termasuk kumpulan rock legenda Mexico, Maná, penyanyi tradisional Lila Downs, kumpulan cumbia terkenal Los Ángeles Azules, serta penyanyi popular Belinda dan Alejandro Fernández.
Lagu rasmi “Dai Dai” jadi tumpuan
Seperti “Waka Waka” pada tahun 2010 dan “Live It Up” pada 2018, setiap Piala Dunia mempunyai lagu yang menjadi identiti kejohanan. Bagi edisi 2026, FIFA memilih “Dai Dai” nyanyian Shakira dan Burna Boy sebagai lagu rasmi kejohanan. Lagu tersebut bukan sahaja diperkenalkan secara langsung buat pertama kali di Mexico City, malah turut dikaitkan dengan inisiatif FIFA Global Citizen Education Fund yang bertujuan mengumpul dana pendidikan untuk kanak-kanak di seluruh dunia.

Alejandro Fernández dapat penghormatan utama
Penyanyi muzik serantau Mexico terkenal, Alejandro Fernández telah dipilih untuk menyampaikan lagu kebangsaan Mexico pada majlis pembukaan Piala Dunia 2026. Mengenakan sut mariachi tradisional yang menjadi identitinya, penyanyi yang mesra digelar “El Potrillo” itu kelihatan cukup tersentuh dan beremosi ketika diberi penghormatan untuk menyanyikan simbol kebanggaan negara tersebut pada hari yang begitu bersejarah buat Mexico dan dunia bola sepak.

Seruan Lila Downs
Penyanyi dan penulis lagu terkenal, Lila Downs telah membuka upacara perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026 dengan persembahan yang sarat simbol budaya dan warisan masyarakat asal Mexico. Berlatar di tengah padang di Estadio Azteca, upacara tersebut dimulakan dengan ritual pribumi yang kuat elemen spiritual dan tradisi. Seluruh padang dihiasi rona biru turquoise, warna yang sering dikaitkan dengan masyarakat asli Mesoamerika, mewujudkan suasana visual yang penuh makna sejarah.
Dikelilingi oleh para penari yang memakai hiasan kepala dan pakaian tradisional berbulu, Lila Downs menyampaikan ucapan dalam tiga bahasa, Sepanyol, Inggeris dan Mixtec, bahasa pribumi dari wilayah asalnya di selatan Mexico. Dengan tangan terbuka sebagai tanda penghormatan kepada dunia, beliau menyeru, “Peoples of the world, welcome to Mexico!”, sekali gus mengangkat mesej perpaduan dan sambutan global pada detik pembukaan bersejarah itu.

Debut pertama Tyla di FIFA Piala Dunia 2026
Penyanyi dan penulis lagu Afrika Selatan, Tyla tampil di pentas Piala Dunia 2026 dengan persembahan penuh emosi menerusi lagu kebangsaan negaranya. Persembahan tersebut menjadi detik penuh penghormatan dan kebanggaan buat pasukan Afrika Selatan yang turut bertanding dalam kejohanan ini. Suara Tyla yang lembut tetapi berkuasa membawa suasana stadium menjadi lebih tenang dan khusyuk, sebelum akhirnya disambut dengan tepukan gemuruh daripada puluhan ribu penonton.
