Izara Aishah dan Adib Khalid sudah selamat bernikah pada Jumaat lalu dengan sekali lafaz. Tampil penuh mempersonakan dikedua-dua majlis, nyata macam-macam respon tentang busana Izara yang cukup menawan.
Ketika majlis ijab dan kabul yang berlangsung pada 17 November lepas, Izara tampil cukup klasik dan menawan dengan busana serba putih rekaan pereka fesyen tersohor tempatan, Rizalman Ibrahim.
Pada malam tersebut, Izara turun dari anak tangga menuju ke pelamin pernikahan dengan busana putih berperincian bungaan putih serta kerudung bermaterial keras.
Tidak dinafikan yang Izara tampil cukup berseri menawan pada majlis pernikahan itu tetapi ada juga segelintir netizen yang menyifatkan kerudung yang dipakai Izara ibarat 'roti tisu'.
Jelas Rizalman kepada Portal mStar, "Kerudung itu adalah ilham daripada songket keras yang digunakan zaman Diraja dahulu Biasalah, apabila bercakap tentang fesyen, bukan semua orang akan suka dengan apa yang kita gayakan."
Rizalman turut menyatakan yang mana bukan mudah untuk menghasilkan persalinan tersebut. Ia bertemakan future classic dan mengambil masa berbulan untuk mencari idea dari pelbagai sumber di dunia untuk menciptanya.
Manakala pada majlis resepsi yang berlangsung di Hotel Mandrin Oriental KL, Izara sememangnya tampil sangat cantik dan memukau dengan busana berona putih dengan percikkan warna silver yang direka oleh Rizman Ruzaini.
Memilih untuk tidak mengenakan veil, sebaliknya Izara memakai mahkota ringkas sebagai aksesori kepala, ia sudah cukup buatkan penampilan Izara pada majlis itu diibaratkan sebagai bidadari.
Antara selebriti yang dilihat turut hadir ke majlis persandingan pasangan ini adalah Neelofa, Farah Nabilah, Hael Husaini dan Kilafairy.
Tahniah EH! ucapkan kepada pasangan sama cantik sama padan, Izara dan Adib. Semoga selamat melayari bahtera perkahwinan sehingga akhir hayat bersama.
EH! kongsikan beberapa gambar di sekitar majlis pernikahan dan persandingan Izara dan Adib.