Gambar: Suria FM
Menggantikan tempat Halim Othman sepanjang September ini di Suria FM adalah pengacara televisyen Baki Zainal yang diberi tanggungjawab untuk menggalas sementara segmen Ceria Pagi bersama Adibah Noor.
Mengenai pemilihan pengacara yang fasih berbahasa Mandarin itu, Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin berkata, “Baki Zainal amat sesuai untuk bergandingan dengan Adibah Noor kerana personalitinya. Dia ceria, unik dan boleh memberikan sesuatu yang segar kepada pendengar Suria FM”.
Baki yang pertama kali bertugas di radio meluahkan rasa terujanya untuk bekerja dengan Adibah Noor, iaitu seorang yang dia kagumi. “Saya berharap para pendengar Suria FM dapat menerima saya dengan baik dan rakan sekerja dapat membantu untuk mendalami bidang ini”.
Baki menggantikan Halim Othman yang kini sedang dalam jelajah bersama krew Suria Ford Wheels bagi kempen Kamilah Malaysia Tour. Kempen jelajah itu bertujuan bagi mencari pendengar setia Suria FM di Semenanjung Malaysia. Halim akan kembali ke Ceria Pagi untuk menceriakan dunia anda pada Oktober nanti.