Oleh: Farhana Fuad
Gambar: IMC Live Group Malaysia
Malam tadi bertempat di KL Life, Life Centre konsert The Head or Heart Tour Christina Perri telah berlangsung dengan penuh kehangatan. Sudah semestinya konsert dari pemuzik terkenal antarabangsa ini membuatkan KL Life dipenuhi dengan peminat-peminat lagu hitsnya A Thousand Years dan Jar of Hearts. Pentas KL Life dibuka dengan persembahan hebat dari penyanyi terbaru tanah air kita, Elizabeth Tan.
Kemunculan istimewa dari Elizabeth Tan membawakan tiga buah lagu cover berserta sebuah lagunya yang berjudul Knock Knock. Jelajah Christina Perri kali ini bersempena kemunculan album terbarunya yang berjudul Head or Heart. Christina Perri membawakan 19 buah lagu berserta sebuah lagu cover Thinking Out Loud dari Ed Sheeran.
Menurut Christina, albumnya yang terbaru ini berkisahkan tentang cinta yang melanda dirinya. Persoalan yang sering bermain dimindanya sama ada untuk memilih kata hati atau akal fikiran apabila menyentuh tentang cinta dan kehidupan.
“Satu perkara pada diri saya adalah saya tidak tahu bagaimana untuk berhenti menulis. Disebabkan itu saya sentiasa jatuh cinta dan putus cinta. Saya sering melihat diri saya berada di ketinggian yang sangat tinggi dan kadang kala di bawah. Saya menulis idea untuk album kedua tetapi saya tidak pernah menggelarkan ia sebagai album kedua. Semuanya adalah lagu yang saya lalui ketika penjelajahan. Setibanya di rumah, saya menulis sebuah lagu yang bertajuk Trust dan saya tersedar akan realiti. Saya cuba untuk mendengar kata hati dan fikiran saya tetapi saya rasa saya akan memilih kepada yang salah setiap kali. Saya percaya bahawa album ini perlu dipanggil sebagai Head or Heart serta separuh daripada lagu-lagu terbaru ini adalah berkisah lagu yang hadir dari jiwa, dan separuh lagi mengikuti kata minda. Itulah saat bermulanya kreativiti dan konsep penceritaan lagu saya.”