Selepas tempoh panjang dibayangi kontroversi, Kanye kembali dengan konsert berskala mega di SoFi Stadium, Los Angeles. Seperti dijangka, ia bukan sekadar persembahan muzik biasa, tetapi sebuah pengalaman yang penuh emosi, visual luar biasa dan kekecohan yang mencetuskan reaksi global.
Bila bercakap soal dunia hiburan hanya ada satu nama yang mampu mencetuskan hype dan kontroversi serentak. Tahun 2026 menyaksikan kemunculan semula Kanye West di pentas dengan cara yang cukup dramatik dan penuh perbincangan.
Konsert Comeback di Los Angeles
Konsert yang berlangsung di SoFi Stadium ini menandakan kemunculan semula kanye selepas beberapa tahun menyepi dari pentas utama. Dua malam persembahan berlangsung dalam suasana penuh hype apabila tiket habis terjua, menarik puluhan ribu peminat dari seluruh dunia. Konsert ini dilaporkan menjana sekitar USD33 juta (anggaran RM150 juta) daripada jualan tiket. Menampilkan lagu daripada album terbaharunya, Bully bersama deretan hits klasik.
Dari segi visual, Kanye tampil dengan konsep futuristik berdiri di atas pentas berbentuk sfera gergasi dengan visual bumi berputar, seolah-olah melambangkan kedudukannya sebagai figura global yang masih menguasai dunia muzik.
Drama Pentas
Namun, seperti personaliti Kanye yang terkenal dengan sifat unpredictable, konsert ini tidak berjalan sepenuhnya lancar. Beberapa bahagian persembahan terpaksa dihentikan akibat masalah teknikal, terutamanya melibatkan sistem pencahayaan dan visual. Dalam beberapa momen, Kanye secara terbuka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kru produksi di atas pentas kerana hasil visual yang tidak menepati visinya. Ada momen di mana dia mengkritik efek lampu sebagai tidak sesuai dengan estetika show. Walaupun terganggu, konsert tetap diteruskan.
North West Mencuri Tumpuan
Salah satu highlight paling mencuri perhatian adalah kemunculan anaknya, North West. Pada usia 12 tahun, North tampil membuat persembahan bersama bapanya, menyanyikan beberapa lagu termasuk kolaborasi mereka. Penampilannya yang penuh gaya dengan aura mini superstar pantas menjadi viral di media sosial. Momen ini bukan sahaja mencuri perhatian peminat, tetapi turut memperlihatkan sisi lebih lembut Kanye sebagai seorang ayah.

London Menjadi Medan Ujian
Selepas kejayaan konsert di Los Angeles, Kanye dijadualkan menjadi headliner di Wireless Festival 2026 di London. Namun, perancangan ini mencetuskan kontroversi baharu. Beberapa penaja utama dilaporkan menarik diri daripada festival tersebut, manakala tekanan politik semakin meningkat untuk menghalang kemasukan Kanye ke United Kingdom susulan kenyataan-kenyataan kontroversinya sebelum ini. Walaupun berdepan desakan, pihak penganjur masih mempertahankan keputusan mereka untuk mengekalkan Kanye sebagai salah satu nama utama festival.
Artikel Berkaitan: BIGBANG Raikan 20 Tahun Di Pentas Coachella


